AYUB 38:24-38
AYUB 38:24-38 Alkitab Berita Baik (BM)
Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit, ataupun ke tempat asal angin timur? Siapakah yang menggali terusan bagi hujan lebat, dan menyediakan jalan untuk guruh dan kilat? Siapakah yang menurunkan hujan ke tempat yang tidak didiami orang? Siapakah yang membasahi tanah yang kering dan tandus, sehingga rumput di sana bertunas? Adakah hujan mempunyai bapa kandung? Siapakah yang melahirkan embun? Adakah air batu mempunyai ibu? Siapakah yang melahirkan embun beku? Siapakah yang mengubah air menjadi batu dan menjadikan permukaan laut beku? Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika, ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion? Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim, dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil? Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala, dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia? Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan, dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan? Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung, adakah kilat datang kepadamu dan berkata, “Saya, tuan!”? Siapakah yang memberitahu burung ibis bahawa Sungai Nil akan banjir? Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun? Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan, dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan, hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan, dan tanah menjadi ketulan?
AYUB 38:24-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di manakah jalan tempat kilat dibahagikan, tempat angin timur disebarkan ke atas bumi? Siapakah yang membuka saluran bagi air bah dan jalan bagi kilat guruh, untuk menghujani tanah yang tidak ada orangnya, gurun yang tidak ada manusianya, untuk mengenyangkan padang yang tandus dan sunyi, serta untuk menumbuhkan tunas-tunas rumput muda? Apakah hujan itu berayah? Atau, siapakah yang menyebabkan titik-titik embun lahir? Daripada kandungan siapakah keluar ais? Siapakah yang melahirkan embun beku di langit, ketika air mengeras seperti batu dan permukaan samudera membeku? Dapatkah engkau mengikat gugusan bintang Kartika, atau melepaskan ikatan bintang Belantik? Dapatkah engkau mengeluarkan rasi-rasi bintang pada masanya, atau memandu bintang Biduk dengan anak-anaknya? Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit? Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi? Dapatkah engkau menyaringkan suaramu sampai ke awan, atau meliputi dirimu dengan air bah? Dapatkah engkau mengutus petir sehingga mereka pergi sambil berkata kepadamu, ‘Inilah kami’? Siapakah yang menaruh hikmah di dalam batin? Atau, siapakah yang memberikan pengertian kepada fikiran? Siapakah yang dapat mengira jumlah awan dengan hikmah? Siapakah yang dapat mencurahkan isi kirbat-kirbat langit, ketika debu jadi keras dan gumpalan-gumpalan tanah berlekatan?