YOHANES 6:22-40

YOHANES 6:22-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Keesokan harinya orang ramai yang bermalam di seberang tasik, sedar bahawa hanya ada sebuah perahu di sana. Mereka tahu bahawa para pengikut Yesus telah bertolak dengan perahu itu tanpa Dia. Kemudian beberapa buah perahu yang datang dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti setelah Tuhan mengucap syukur. Tetapi apabila mereka tidak nampak Yesus mahupun pengikut-pengikut-Nya di situ, mereka pun menaiki perahu-perahu itu lalu pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus. Apabila mereka berjumpa dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Guru, bilakah guru sampai di sini?” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal. Itulah makanan yang akan diberikan oleh Anak Manusia kepada kamu, kerana Dia sudah dilantik oleh Allah Bapa.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?” Yesus berkata, “Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan? Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: ‘Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.’ ” Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.” “Guru,” kata mereka, “berilah kami roti itu selalu.” “Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya. Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.”

YOHANES 6:22-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bŭrmula maka pada kaesokkan harinya, apabila dilihat ulih orang banyak yang bŭrdiri disŭbrang pada tŭpi tasik itu, bahwa tiada pŭrahu lain disitu, hanyalah pŭrahu yang dimasokki murid murid Isa itu, tŭtapi Isa tiada bŭrsama sama masok pŭrahu itu dŭngan murid muridnya, mŭlainkan murid muridnya sŭndiri sahja bŭrlayar. Tŭtapi ada juga datang pŭrahu lain lain deri Tiberia, dŭkat katŭmpat orang banyak makan roti, iya itu apabila tŭlah diuchap shukor ulih Tuhan. Maka sŭbab itu apabila dilihat ulih marika itu skalian tiada Isa disana, dan murid muridnya pun tiada, maka marika itu pun naik pŭrahu, lalu datang ka‐Kapŭrnaum, sŭrta mŭnchari akan Isa. Adapun apabila marika itu mŭndapat akan dia disŭbrang tasik itu, maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Rabbi, bilakah angkau datang kŭmari ini? Maka sahut Isa kapada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, adapun kamu mŭnchari aku ini bukannya sŭbab kamu tŭlah mŭlihat mujizat itu, mŭlainkan sŭbab kamu sudah makan roti itu dŭngan kŭnyangnya. Maka janganlah kiranya kamu bŭrlŭlah lŭlah sŭbab mŭncharoti yang fana, mŭlainkan roti yang baka sampie hidop slama lamanya, yang tŭlah dibri ulih Anak manusia kapadamu, kŭrna dialah yang tŭlah dimutriekan ulih Allah Ayah itu. Arkian maka bŭrtanyalah marika itu kapadanya, Apakah yang patut kami bŭrbuat, supaya dapat kami mŭngŭrjakan sagala pŭkŭrjaan Allah? Maka sahut Isa pada marika itu, Bahwa inilah pŭkŭrjaan yang dikahandaki Allah, maka handaklah kamu pŭrchaya akan orang yang disurohnya itu. Maka sŭbab itu bŭrkatalah marika itu padanya, Apakah tandah yang angkau tunjokkan kapada kami yang bulih kami mŭlihat dan pŭrchaya akan dikau, apakah yang angkau kŭrja? Adapun nenek moyang kami skalian tŭlah makan maana dipadang bŭlantara spŭrti yang sudah tŭrsurat dalam kitab, Bahwa iya sudah mŭmbri makan pada marika itu roti deri langit. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, Musa tiada mŭmbri kapadamu roti deri shorga itu; tŭtapi Ayahku ada mŭmbri padamu roti deri shorga yang bŭtol itu. Kŭrna roti Allah iya itulah dia yang turon deri shorga akan mŭnghidopkan isi dunia. Sŭtlah itu maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Tuhan brilah kiranya pada kami sŭntiasa roti itu. Maka kata Isa pada marika itu, Bahwa aku inilah roti hidop itu, maka barang siapa yang datang kapadaku tiadalah iya akan lapar lagi, dan barang siapa yang pŭrchaya akan daku, tiadalah iya akan dahaga lagi. Tŭtapi aku bŭrkata padamu, kamu tŭlah mŭlihat akan daku, maka tiada juga kamu pŭrchaya. Sagala orang yang dibri ulih Ayahku akan daku itu nŭschaya datanglah iya kapadaku, maka barang siapa yang datang kapadaku itu, maka skali kali tiada aku mŭnolakkan dia. Kŭrna aku turon deri shorga bukannya sŭbab bŭrbuat kahandak diriku, mŭlainkan sŭbab kahandak iya yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka dŭmkianlah adanya kahandak Ayah itu yang tŭlah mŭnyurohkan aku, iya itu sagala orang yang dibrinya padaku itu janganlah sa’orang pun binasa, mŭlainkan patut aku hidopkan pula dia pada hari kumdian. Shahadan maka inilah kahandak Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku itu, Bahwa barang siapa yang mŭngŭnal Anak itu, dan pŭrchaya akan dia, maka iya itu bŭrulih hayat yang kŭkal, maka aku pun kŭlak mŭnghidopkan dia pada hari kumdian.

YOHANES 6:22-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik menyedari bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Yesus tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para murid Yesus telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya. Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Tuhan mengucap syukur. Apabila mereka tidak melihat Yesus atau murid-murid-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Yesus. Ketika mereka bertemu dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Rabbi, bilakah Engkau sampai ke mari?” Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?” Yesus berkata, “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.’ ” Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.” Kemudian mereka berkata, “Tuhan, berilah kami roti itu selalu.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi. Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir. Demikianlah kehendak Bapa-Ku, iaitu setiap orang yang melihat Anak-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.”