Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik menyedari bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Yesus tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para murid Yesus telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya. Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Tuhan mengucap syukur. Apabila mereka tidak melihat Yesus atau murid-murid-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Yesus.
Ketika mereka bertemu dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Rabbi, bilakah Engkau sampai ke mari?”
Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya.”
Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?”
Yesus berkata, “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.”
Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.’ ”
Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.”
Kemudian mereka berkata, “Tuhan, berilah kami roti itu selalu.”
Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir. Demikianlah kehendak Bapa-Ku, iaitu setiap orang yang melihat Anak-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.”