YOHANES 6:1-14

YOHANES 6:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu Yesus pergi ke seberang Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias. Banyak orang mengikuti-Nya, kerana mereka telah melihat mukjizat yang dilakukan-Nya ketika Dia menyembuhkan orang sakit. Kemudian Yesus naik ke atas bukit lalu duduk di situ dengan pengikut-pengikut-Nya. Pada waktu itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, “Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?” ( Yesus mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.) Filipus menjawab, “Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.” Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata, “Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk.” (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki. Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.” Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka berkata, “Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!”

YOHANES 6:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA adapun kumdian deripada pŭrkara pŭrkara itu, maka Isa pun mŭnyŭbranglah tasik Galilia, iya itu tasik Tiberia. Maka adalah tŭrlalu banyak orang mŭngikot dia, sŭbab dilihat ulih marika itu bŭbrapa mujizat yang diadakannya pada orang orang sakit itu. Hata maka Isa pun naiklah ka’atas sa’buah bukit, lalu dudoklah iya disana sŭrta dŭngan murid muridnya. Maka hampirlah hari langkah, iya itu hari raya orang Yahudi. ¶ Adapun apabila Isa mŭngangkat matanya, sŭtlah dilihatnya tŭrlalu banyak orang datang kapadanya, maka bŭrkatalah iya kapada Filipus, Dimanakah bulih kita dapat mŭmbli roti, supaya bulih dimakan ulih sagala orang ini? Adapun Isa bŭrkata itu sŭbab handak mŭnchobai dia, kŭrna dikŭtahui ulih Isa sŭndiri apa yang handak dipŭrbuatnya itu. Maka sahut Filipus, Dua ratus dinar punya roti tiada akan chukop kapada marika itu, supaya masing masing mŭngambil sa’orang sŭdikit. Maka bŭrkatalah sa’orang muridnya kapada Isa, iya itu Andria saudara Simon Petros. Bahwa ada kapada sa’orang orang budak disini lima buah roti, dan dua ekor ikan kŭchil, tŭtapi apa bulih jadi kapada orang sŭbanyak ini? Maka kata Isa, Surohkanlah dudok orang orang itu. Maka adalah ditŭmpat itu rumput banyak, maka dudoklah orang orang itu adalah kira kira lima ribu orang banyaknya. Maka diambil ulih Isa roti itu, sŭtlah sudah iya mŭnguchap shukor, maka dibahgikannya pada murid muridnya, dan murid muridnya pula mŭmbahgi kapada orang orang yang dudok itu, dan ikan ikan itu pun dŭmkianlah sŭbrapa dia orang mahu. Sŭtlah kŭnyanglah sagala orang itu, maka kata Isa kapada murid muridnya, Kampongkanlah sagala sisa yang tinggal tinggal itu, supaya jangan hilang suatu pun. Maka sŭbab itu dikampongkanlah ulih marika itu; lalu dipŭnohkannya duablas bakol sisa deripada lima buah roti bras Bŭlanda yang tŭrtinggal, lebih deripada marika itu sudah makan. Shahadan dŭmi dilihat ulih sagala orang itu akan mujizat yang tŭlah dipŭrbuat ulih Isa itu; maka bŭrkatalah marika itu, Bahwa sŭsunggohnya orang inilah Nabi yang patut datang kŭdalam dunia.

YOHANES 6:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Laut Tiberias. Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit. Yesus mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama murid-murid-Nya. Pada masa itu Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba. Apabila Yesus memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?” (Sebenarnya Yesus bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.) Filipus menjawab, “Roti yang berharga dua ratus dinar pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.” Seorang lagi murid Yesus yang bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya, “Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!” Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Ajaklah mereka duduk.” (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya. Yesus mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu, Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada mereka yang duduk di sini. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula sebanyak yang dikehendaki mereka. Setelah kenyang semuanya, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.” Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu. Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus itu, mereka pun berkata, “Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!”