YOHANES 5:1-30
YOHANES 5:1-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas itu ada satu perayaan Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. Di Yerusalem dekat Pintu Domba ada sebuah kolam yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Betesda. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Banyak orang sakit berbaring di serambi-serambi itu - yang buta, yang tempang, dan yang lumpuh. [Mereka semua menunggu air di kolam itu berkocak, kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu dan mengocakkan airnya, lalu orang sakit yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apa pun yang dihidapnya.] Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Yesus bertanya kepadanya, “Mahukah kamu sembuh?” Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya.” Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah.” Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan. Hal ini berlaku pada hari Sabat. Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, “Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.” Tetapi orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.” Mereka bertanya, “Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?” Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu. Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.” Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia. Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.” Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah. Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak. Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan. Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya. Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tidak menghormati Bapa yang mengutus Anak. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup. Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.” “Aku tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Ku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku.
YOHANES 5:1-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA kumdian deri pada itu, maka hari raya orang Yahudi pun sampielah; maka Isa pun pŭrgilah kaJerusalem. Maka adalah diJerusalem itu dŭkat dŭngan pintu domba suatu kolam, iya itu yang tŭrsŭbut dalam bahasa Ibrani Bethesda, maka adalah padanya itu lima buah bangsalnya. Maka dalamnya itu banyaklah orang orang yang sakit tŭrlŭtak, baik orang buta, baik orang tempang, baik chapek mŭnantikan ayer itu bŭrkochak. Kŭrna pada sa’suatu masa adalah biasa turon sa’orang Maliekat kŭdalam kolam itu mŭngochakkan ayer itu; maka barang siapa mula mula yang turon kŭdalam kolam itu, kumdian deripada ayer itu bŭrkochak, maka mŭnjadi sŭmbohlah barang pŭnyakitnya. Maka adalah disitu sa’orang orang yang tŭlah kŭna sakit tiga puloh dŭlapan tahun lamanya. Maka apabila dilihat Isa akan dia tŭrhantar, sŭrta dikŭtahuinya lama sudah iya dalam sakit itu, lalu katanya, Mahukah angkau disŭmbohkan? Maka mŭnyahutlah orang yang sakit itu katanya, Tuan, tiada orang padaku supaya dimasokkannya aku apabila ayer itu tŭrkochak; maka sŭmŭntara aku datang orang lain sudah turon tŭrlebih dahulu deripada aku. Maka kata Isa padanya, Bangunlah; angkat katilmu itu, bŭrjalanlah. Hata maka dŭngan sŭkutika itu juga sŭmbohlah orang itu, lalu diangkatnya katilnya sambil bŭrjalan; adapun hari itu, hari Sabtu adanya. ¶ Maka sŭbab itu bŭrkatalah orang orang Yahudi pada orang yang tŭlah disŭmbohkan itu, Adapun hari ini hari Sabtu, maka tiada patut angkau mŭmikol katilmu itu. Maka disahutnya akan marika itu, Bahwa orang yang tŭlah mŭnyŭmbohkan aku ini juga yang tŭlah bŭrkata kapadaku, Angkatlah katilmu itu lalu bŭrjalanlah. Maka bŭrtanyalah marika itu, Orang manakah yang bŭrkata padamu, Angkatlah katilmu lalu bŭrjalanlah. Adapun orang yang disŭmbohkan itu tiada iya mŭngŭnal siapakah dia; Kŭrna Isa sudah pŭrgi diam diam, sŭbab tŭrlalu banyak orang ditŭmpat itu. Maka kumdian deripada itu bŭrtŭmulah Isa dŭngan dia dalam ka’abah, lalu bŭrkata kapadanya, Bahwa sŭsunggohnya angkau tŭlah disŭmbohkan, maka janganlah lagi angkau bŭrdosa, lamon jangan datang barang pŭrkara yang lebih jahat atasmu pula. Maka pŭrgilah orang itu mŭmbri tahu kapada orang orang Yahudi, Bahwa Isalah yang tŭlah mŭnyŭmbohkan dia. Maka sŭbab itulah orang orang Yahudi itu mŭngannyayakanlah akan Isa sambil mŭnchari jalan handak mŭmbunoh akan dia, sŭbab dipŭrbuatnya pŭrkara pŭrkara itu pada hari Sabtu. ¶ Maka sahut Isa pada marika itu, Bahwa Ayahku lagi bŭkŭrja sampie skarang ini, maka aku pun bŭkŭrjalah juga. Arkian maka sŭbab itu makin lebihlah orang Yahudi mŭnchari jalan akan mŭmbunoh dia; bahwa bukannya sŭbab iya tŭrsalah pada hukum hari Sabtu sahja, mŭlainkan sŭbab disŭbutnya Allah akan Ayahnya, dan dijadikannya dirinya sama tara dŭngan Allah. Maka sahut Isa pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, Tiada dapat dipŭrbuat ulih Anak itu suatu jua pun deripada sŭndirinya jikalau tiada dilihatnya Ayahnya itu bŭrbuat itu: kŭrna barang pŭrkara yang dipŭrbuat ulih Ayah maka dŭmkian juga dipŭrbuat ulih Anak pun. Kŭrna Ayah itu mŭngasihi akan Anak itu, lagi ditunjokkannya padanya sagala pŭrkara pŭrbuatannya sŭndiri, dan akan diunjokkannya padanya bŭbrapa pŭkŭrjaan yang lebih bŭsar deripada sŭmua ini, sahingga kamu kŭlak tŭrchŭngang adanya. Adapun spŭrti Ayah mŭmbangkitkan orang mati dan mŭnghidopkan dia, maka dŭmkian lagi Anak pun mŭnghidopkan barang siapa yang dikahandakinya. Kŭrna Ayah tiada mŭnghukumkan barang sa’orang pun, mŭlainkan disŭrahkannya sagala hukum itu kapada Anak itu. Supaya sagala orang mŭnghormati Anak itu, spŭrti iya mŭnghormati Ayah itu; barang siapa yang tiada mŭmbri hormat akan Anak itu, maka sŭrasa iya tiada mŭmbri hormat akan Ayah itu yang tŭlah mŭnyurohkan dia. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa barang siapa yang mŭnŭngar pŭrkataanku ini, dan pŭrchaya akan dia yang tŭlah mŭnyurohkan aku, maka iya mŭndapat hidop kŭkal, dan tiada iya akan kŭna hukum seksa, mŭlainkan iya sudah bŭrpindah deripada mati kapada hidop. Bahwa sŭsungguhnya aku bŭrkata padamu, adapun waktu akan datang, dan skarang ini pun, maka apabila didŭngar ulih orang yang mati akan swara Anak Allah itu, maka orang orang yang mŭnŭngar itu kŭlak hidoplah iya adanya. Maka spŭrti Ayah itu mŭmpunyai hidop dalam dirinya, maka dŭmkianlah iya tŭlah mŭmbri pada Anaknya pun mŭmpunyai hidop dalam dirinya. Dan lagi tŭlah dibrinya pula kwasa akan mŭnjalankan hukum, sŭbab iyalah Anak manusia adanya. Maka janganlah kamu hieran, kŭrna waktunya itu akan datang, sagala orang yang deri dalam kubor akan mŭnŭngar swaranya itu. Sŭrta kluar, maka sagala orang yang bŭrbuat baik itu kŭbangkitannya kapada slamat, dan sagala orang yang bŭrbuat jahat itu kŭbangkitannya kapada binasa. Maka aku tiada bulih bŭrbuat barang sŭsuatu dŭngan kahandakku sŭndiri, yang spŭrti kudŭngar, dŭmkian kuhukumkan; adapun hukumanku itu adil adanya, kŭrna aku tiada mŭnuntut kahandakku sŭndiri, mŭlainkan kahandak Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku.
YOHANES 5:1-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, Yesus pergi ke Yerusalem pada masa suatu perayaan Yahudi. Di Yerusalem, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring — ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh — menunggu air kolam itu berkocak. Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya. Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Yesus bertanya kepadanya, “Inginkah kamu sembuh?” Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada siapa pun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dahulu.” Yesus berkata kepadanya, “Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.” Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat. Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang yang disembuhkan itu, “Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.” Orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.” Mereka pun bertanya, “Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?” Akan tetapi, orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan siapa orangnya, kerana Yesus telah menghilang di antara orang ramai di situ. Tidak lama selepas itu, Yesus bertemu dengan orang itu di dalam Bait Suci dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.” Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Yesuslah yang telah menyembuhkannya. Dengan demikian, orang Yahudi mula memusuhi Yesus kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat. Namun demikian, Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.” Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah. Yesus menjawab mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak, kerana Bapa kasih akan Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Anak-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Anak, sehingga kamu semua menjadi hairan. Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Anak-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya. Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya. Dengan demikian, semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Anak, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudah pun sampai, ketika orang mati mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup. Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Anak-Nya juga sumber hidup. Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya, kerana Dia itu Anak Manusia. Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang di dalam kubur mendengar suara-Nya. Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum.” “Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.