Yohanes 5:1-30

Yohanes 5:1-30 AVB

Setelah itu, Yesus pergi ke Yerusalem pada masa suatu perayaan Yahudi. Di Yerusalem, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring — ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh — menunggu air kolam itu berkocak. Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya. Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Yesus bertanya kepadanya, “Inginkah kamu sembuh?” Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada siapa pun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dahulu.” Yesus berkata kepadanya, “Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.” Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat. Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang yang disembuhkan itu, “Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.” Orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.” Mereka pun bertanya, “Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?” Akan tetapi, orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan siapa orangnya, kerana Yesus telah menghilang di antara orang ramai di situ. Tidak lama selepas itu, Yesus bertemu dengan orang itu di dalam Bait Suci dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.” Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Yesuslah yang telah menyembuhkannya. Dengan demikian, orang Yahudi mula memusuhi Yesus kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat. Namun demikian, Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.” Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah. Yesus menjawab mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak, kerana Bapa kasih akan Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Anak-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Anak, sehingga kamu semua menjadi hairan. Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Anak-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya. Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya. Dengan demikian, semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Anak, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudah pun sampai, ketika orang mati mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup. Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Anak-Nya juga sumber hidup. Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Anak-Nya, kerana Dia itu Anak Manusia. Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang di dalam kubur mendengar suara-Nya. Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum.” “Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.