YOHANES 21:7-19

YOHANES 21:7-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Pengikut yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Petrus, “Dia Tuhan!” Apabila Simon Petrus mendengar bahawa Dia itu Tuhan, Petrus memakai bajunya (yang ditanggalkannya semasa bekerja) lalu terjun ke dalam air. Pengikut-pengikut lain mendarat dengan perahu itu, sambil menarik jala yang penuh dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, kira-kira seratus meter sahaja. Apabila mereka tiba di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api dan roti pun ada di situ. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa ekor ikan yang baru kamu tangkap ke mari.” Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Jala itu sarat dengan ikan yang besar-besar; semuanya berjumlah 153 ekor. Meskipun ikan sebanyak itu tertangkap, jala itu tidak koyak. Yesus berkata kepada mereka, “Marilah makan.” Tidak seorang pun daripada pengikut-Nya berani bertanya, “Siapakah tuan?” kerana mereka tahu bahawa Dia Tuhan. Oleh itu, Yesus menghampiri mereka, mengambil roti, lalu memberikan roti itu kepada mereka. Dia berbuat demikian juga dengan ikan itu. Inilah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian. Setelah mereka makan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak-anak domba-Ku.” Untuk kali kedua Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.” Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya tiga kali kepadanya, “Adakah kamu mengasihi Aku?” Oleh itu Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan mengetahui semuanya. Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan!” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku. Apa yang Aku katakan ini benar: Semasa kamu masih muda, kamu mengikat tali pinggang lalu pergi ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi semasa kamu tua, kamu akan menghulurkan tangan lalu seorang lain akan mengikat kamu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” (Dengan kata-kata ini Yesus menunjukkan bagaimana Petrus akan mati kelak untuk memuliakan Allah.) Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!”

YOHANES 21:7-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭbab itu bŭrkatalah murid yang dikasihi ulih Isa itu kapada Petros, Iya ini Tuhan. Maka apabila didŭngar Simon Petros, bahwa itu Tuhan, maka lalu dipakienya baju pŭngail, (kŭrna iya itu tiada bŭrbaju), lalu tŭrjunlah iya kŭdalam ayer. Maka sagala murid yang lain itu pun datanglah dŭngan pŭrahu kŭchil, kŭrna marika itu tiada jauh deri darat, ada kira kira dua ratus hasta sahja jauhnya, sambil ditariknya pukat yang bŭrisi ikan itu. Sŭtlah sampielah marika itu kŭdarat, maka dilihatnya ada satu timbunan bara api, dan ikan pun ada tŭrlŭtak diatasnya, dan roti pun ada. Maka kata Isa pada marika itu, Bawalah ikan ikan yang kamu bahru tangkap itu. Maka Simon Petros pun pŭrgilah mŭnarik pukat itu kŭdarat pŭnoh dŭngan ikan bŭsar bŭsar, sa’ratus lima puloh tiga ekor banyaknya; maka sungguh pun bŭgitu banyak, tŭtapi tiada juga pukat itu koyak. Maka kata Isa kapada marika itu, Marilah makan. Maka sa’orang pun deripada sagala murid itu tiada bŭrani bŭrtanya akan dia, siapa angkau; kŭrna iya mŭngŭtahui, bahwa itu Tuhan. Maka datanglah Isa hampir, sŭrta mŭngambil roti, lalu dibrinya pada marika itu, dan ikan itu pun dŭmkian juga. Arkian inilah katiga kalinya Isa mŭnyatakan dirinya kapada murid muridnya kumdian deripada iya tŭlah hidop deripada matinya. ¶ Bŭrmula sŭtlah marika itu sudah habis makan, maka kata Isa kapada Simon Petros, Hie Simon anak Yunas, angkau kasihkah akan daku tŭrlebih deripada skalian ini? Maka jawab Simon akan dia, Bahkan, ya Tuhan, angkau tahu bahwa aku mŭngasihi angkau. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Gombalakanlah sagala anak dombaku. Maka katanya pula akan dia pada kadua kalinya, Hie Simon anak Yunas, angkau kasihkah akan daku? Jawabnya akan dia, Bahkan ya Tuhan, angkau tahu bahwa aku mŭngasihi angkau. Maka kata Isa akan dia, Gombalakanlah domba dombaku. Maka pada katiga kalinya bŭrkata Isa padanya, Hie Simon anak Yunas, angkau kasihkah akan daku? Maka Petros pun bŭrdukalah, sŭbab tiga kali Isa bŭrkata akan dia, Angkau kasihkah akan daku? Maka jawabnya akan dia, Ya Tuhan, angkau mŭngŭtahui skalian pŭrkara, bahwa angkau tahu aku mŭngasihi angkau. Maka kata Isa padanya, Gombalakanlah domba dombaku. Bahwa sŭsungguh sungguhnyalah aku bŭrkata padamu, tŭtkala angkau lagi muda, maka angkau tŭlah mŭngikat pinggangmu, lalu bŭrjalan pŭrgi barang kŭmana angkau kahandaki, tŭtapi apabila angkau tua kŭlak, maka angkau akan mŭngunjokkan kadua tanganmu, maka orang lain akan mŭngikatkan pinggangmu, sŭrta mŭmbawa dikau barang kŭmana yang tiada angkau kahandaki. Adapun Isa bŭrkata itu handak mŭnunjokkan bŭtapa pri kŭmatian yang dirasai ulih Petros itu akan mŭmuliakan Allah kŭlak. Maka sŭtlah habislah Isa mŭngatakan itu, maka bŭrkatalah iya padanya, Ikotlah aku.

YOHANES 21:7-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, murid yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Simon Petrus, “Itu Tuhan!” Setelah mendengar bahawa Tuhan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya tadi untuk bekerja) lalu dia terjun ke dalam air. Para murid lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira dua ratus hasta. Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada. Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.” Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, seratus lima puluh tiga ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak. Yesus berkata kepada mereka, “Marilah bersarapan.” Tiada seorang murid pun yang berani bertanya, “Siapakah Engkau?” kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Tuhan. Yesus pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan. Itulah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada murid-murid-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian. Selepas sarapan bersama-sama, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Berilah anak-anak domba-Ku makan.” Bagi kali kedua Yesus bertanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.” Bagi kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi-Ku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya kepadanya bagi kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi-Ku?” Lalu dia menjawab, “Tuhan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!” Yesus berkata kepadanya, “Berilah domba-domba-Ku makan. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat kamu lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” Kata-kata Yesus ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Yesus pun berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!”