Yohanes 21:7-19

Yohanes 21:7-19 AVB

Oleh itu, murid yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Simon Petrus, “Itu Tuhan!” Setelah mendengar bahawa Tuhan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya tadi untuk bekerja) lalu dia terjun ke dalam air. Para murid lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira dua ratus hasta. Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada. Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.” Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, seratus lima puluh tiga ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak. Yesus berkata kepada mereka, “Marilah bersarapan.” Tiada seorang murid pun yang berani bertanya, “Siapakah Engkau?” kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Tuhan. Yesus pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan. Itulah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada murid-murid-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian. Selepas sarapan bersama-sama, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Berilah anak-anak domba-Ku makan.” Bagi kali kedua Yesus bertanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.” Bagi kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi-Ku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya kepadanya bagi kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi-Ku?” Lalu dia menjawab, “Tuhan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!” Yesus berkata kepadanya, “Berilah domba-domba-Ku makan. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat kamu lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” Kata-kata Yesus ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Yesus pun berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!”