YOHANES 2:13-22
YOHANES 2:13-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus pergi ke Yerusalem. Di dalam Rumah Tuhan, Dia menjumpai orang menjual lembu, domba, dan burung merpati; penukar wang pun berniaga di situ. Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir semua orang dan binatang itu keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Angkat semuanya dari sini. Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat berniaga!” Pengikut-pengikut-Nya lalu teringat akan ayat Alkitab yang mengatakan, “Kasih-Ku terhadap rumah-Mu, ya Allah, berkobar-kobar seperti api!” Para penguasa Yahudi bertanya kepada Yesus, “Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?” Yesus menjawab, “Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.” “Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?” tanya mereka. “Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!” Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri. Oleh itu ketika Yesus dibangkitkan daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat bahawa Dia pernah mengatakan demikian. Lalu percayalah mereka kepada apa yang tertulis di dalam Alkitab dan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus.
YOHANES 2:13-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka hampirlah datang hari Raya Langkah orang Yahudi maka pŭrgilah Isa kaJŭrusalem. Maka didapatinya dalam ka’abah, orang mŭnjual lŭmbu dan domba dan mŭrpati dan orang mŭnukar wang pun adalah dudok disitu. Maka dipŭrbuatlah ulih Isa suatu chamti jari ampi maka dihalaukannyalah akan sagala orang itu deri dalam ka’abah, sŭrta sagala domba dan lŭmbu itu maka dibuangkannya duit duit orang yang mŭnukar wang dan dibalekkannya meja mejanya itu adanya. Maka bŭrkata Isa kapada sagala orang yang mŭnjual mŭrpati itu, Angkatlah sagala barang barang ini bawa pŭrgi, janganlah angkau jadikan rumah ayahku ini suatu rumah bŭrniaga. Maka tŭringatlah murid muridnya, bahwa tŭlah tŭrsurat dalam kitab, Adapun rajin akan ka’abahmu tŭlah mŭnghanguskan hatiku. ¶ Sŭtlah itu maka jawab orang orang Yahudi itu kapada Isa, katanya, Apakah tanda yang angkau unjokkan pada kami derihal angkau mŭmbuat sagala pŭrkara ini. Maka jawab Isa kapada marika itu katanya, Robohkanlah ka’abah ini; maka dalam tiga hari aku akan mŭmbangunkan dia pula. Maka sahot orang Yahudi katanya, Bahwa ampat puloh anam tahun ka’abah ini didirikun, dapatkah ahgkau mŭmbangunkan dia dalam tiga hari juga? Adapun ka’abah yang dikatakan ulih Isa, iya itu tubohnya. Maka sŭbab itu tŭtkala Isa sudah hidop pula deri matinya, maka bahrulah tŭringat murid muridnya, bahwa Isa tŭlah mŭngatakan akan pŭrkataan ini tŭrdahulu; maka pŭrchayalah marika itu akan kitab itu, sŭrta pŭrkataan yang tŭlah dikatakan ulih Isa itu.
YOHANES 2:13-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba, Yesus pergi ke Yerusalem. Di dalam Bait Suci Dia mendapati orang berjual beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ. Yesus membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari Bait Suci. Dia juga menghamburkan wang pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka. Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!” Para murid-Nya teringat bahawa telah tersurat: “Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!” Orang Yahudi menyoal Yesus, “Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?” Yesus menjawab, “Robohkanlah Bait Suci ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.” “Pembinaan Bait Suci ini mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?” tanya orang Yahudi kepada-Nya. Sebenarnya, Bait Suci yang dimaksudkan oleh Yesus itu ialah tubuh-Nya sendiri. Apabila Yesus bangkit daripada kematian, murid-murid-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Yesus.