YOHANES 19:28-37

YOHANES 19:28-37 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus tahu bahawa sekarang semuanya sudah selesai, dan supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku, Dia berkata, “Aku dahaga.” Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Sebuah bunga karang dicelupkan ke dalam wain itu, lalu dicucukkan pada hujung batang hisop, dan kemudian dihulurkan ke mulut Yesus. Yesus mengecapnya lalu berkata, “Sudah selesai!” Setelah itu Dia menundukkan kepala dan meninggal. Hari itu sehari sebelum hari Sabat. Para penguasa Yahudi tidak mahu mayat orang yang disalibkan masih di kayu salib pada hari Sabat, apalagi hari Sabat kali ini hari perayaan yang khas. Oleh itu mereka meminta kebenaran Pilatus untuk mematahkan kaki orang yang disalibkan dan menurunkan mayat-mayat itu dari kayu salib. Oleh itu askar-askar pergi mematahkan kaki kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus. Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus, mereka melihat bahawa Dia sudah meninggal. Oleh itu mereka tidak mematahkan kaki-Nya. Tetapi salah seorang askar menusuk rusuk Yesus dengan tombak, dan pada ketika itu juga keluarlah darah dan air. ( Demikianlah orang yang telah melihat kejadian ini memberikan kesaksiannya, supaya kamu pun percaya. Kesaksiannya benar dan dia tahu bahawa apa yang dikatakannya benar.) Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Tidak satu pun daripada tulang-Nya akan dipatahkan.” Di dalam Alkitab juga tertulis, “Orang akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.”

YOHANES 19:28-37 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bŭrmula kumdian deri pada itu, maka tŭlah dikŭtahui ulih Isa, bahwa sagala sŭsuatu tŭlah habis, supaya gŭnaplah pŭrkataan kitab, maka katanya, Aku dahaga. Maka adalah tŭrlŭtak disitu sa’buah bajan yang bŭrisi chuka; maka diisi ulih orang suatu lumot karang dŭngan chuka dibubohkannya itu pada sŭbatang gala kayu zof, lalu disampiekannya itu kŭmulot Isa. Sŭtlah sudah diminum Isa chuka itu, maka katanya, Sudahlah habis; lalu tŭrtundoklah kŭpalanya, maka putuslah nyawanya. Maka sŭbab kutika itu hari kŭlangkapan, supaya jangan tinggal sagala tuboh itu tŭrgantong disalib pada hari sabtu itu; adapun sabtu itu hari yang bŭsar; maka dipintalah ulih orang Yahudi kapada Pilatus, supaya kaki orang orang yang tŭrsalib itu dipatahkannya, dan mayatnya pun handak dituronkan. Maka datanglah lashkar itu, lalu dipatahkannya kadua kaki orang yang pŭrtama, dan kadua kaki orang yang lain yang ada tŭrsalib sŭrtanya. Maka apabila datanglah lashkar itu kapada Isa, sŭrta dilihatnya iya sudah mati, maka tiadalah dipatahkannya kakinya. Mŭlainkan sa’orang lashkar mŭnikam rusok Isa dŭngan tombaknya, lalu kluarlah darah dan ayer. Adapun orang yang tŭlah mŭlihat itu bŭrsaksi, maka bŭnarlah saksinya; maka iyalah tahu bahwa iya bŭrkata yang bŭnar, supaya kamu pŭrchaya. Adapun sagala pŭrkara ini tŭlah jadi, supaya gŭnaplah pŭrkataan kitab iyaani, Suatu tulangnya tiada akan dipatahkan. Shahadan lagi suatu pŭrkataan kitab mŭngatakan, Bahwa marika itu akan mŭmandang kapada orang yang ditikam ulih marika itu.