YOHANES 19:1-12

YOHANES 19:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Pilatus menyuruh orang mencambuk Yesus. Askar-askar membuat sebuah mahkota daripada ranting-ranting berduri, lalu mengenakannya pada kepala Yesus. Mereka mengenakan jubah ungu pada-Nya, lalu berulang kali datang kepada-Nya sambil berkata, “Daulat, raja orang Yahudi!” Setelah itu mereka menampar Dia. Pilatus keluar sekali lagi dan berkata kepada orang ramai di situ, “Lihatlah, aku membawa dia ke luar, supaya kamu tahu bahawa aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.” Demikianlah Yesus keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!” Ketika ketua-ketua imam dan para pengawal Rumah Tuhan melihat Yesus, mereka berseru, “Salibkan dia! Salibkan dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia! Kamu sendiri salibkan dia, kerana aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.” Semua orang Yahudi di situ menjawab, “Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku dirinya Anak Allah.” Apabila Pilatus mendengar kata-kata mereka, dia lebih takut lagi. Lalu dia masuk kembali ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Kamu berasal dari mana?” Tetapi Yesus tidak menjawab. Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mahu berkata apa-apa kepadaku? Ketahuilah bahawa aku berkuasa membebaskan kamu ataupun menyalibkan kamu!” Yesus menjawab, “Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diri-Ku kecuali Allah memberikan kuasa itu kepadamu. Oleh itu orang yang menyerahkan Aku kepadamu, dosanya lebih besar daripada dosamu.” Apabila Pilatus mendengar kata-kata ini, dia berusaha untuk membebaskan Yesus. Tetapi semua orang Yahudi di situ berseru, “Jika tuan membebaskan dia, tuan bukan sahabat Kaisar. Sesiapa yang mengaku dirinya raja, melawan Kaisar!”

YOHANES 19:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka sŭtlah itu ditangkap ulih Pilatus akan Isa, lalu dipalunya dŭngan chŭmŭti akan dia. Maka ulih lashkar dianyamkannya mahakota deripada duri, lalu dipakiekannya kapada kŭpala Isa, sŭrta dikŭnakannya suatu baju yang ungu wornanya: Lalu bŭrsorak, Hie Raja orang Yahudi, sambil ditampar ulih marika itu akan dia. Arkian maka kluarlah Pilatus pula, sŭrta bŭrkata pada marika itu, Lihatlah ulihmu aku mŭmbawa dia kluar kapadamu, supaya kamu bulih tahu, bahwa suatu pun kŭsalahan tiada kudapat akan dia ini. Maka kluarlah Isa dŭngan mŭmakie mahakota deripada duri, dan bŭrbaju ungu wornanya; maka kata Pilatus akan marika itu, Lihatlah ulihmu akan orang ini. Maka apabila dilihat ulih imam yang bŭsar bŭsar, dan sagala hulubalang akan dia, maka bŭrsrulah marika itu katanya, Salibkanlah dia, salibkanlah dia. Maka kata Pilatus pada marika itu, Bawalah pŭrgi kamu akan dia, salibkan; kŭrna aku tiada mŭndapat apa apa salahnya. Maka sahut orang orang Yahudi akan dia katanya, Bahwa pada kami ada satu hukum, maka spŭrti bunyi hukum kami itu, patutlah dia ini dibunoh, sŭbab iya mŭnjadikan dirinya Anak Allah. ¶ Adapun apabila didŭngar Pilatus akan pŭrkataan itu, maka bŭrtambahlah takotnya. Maka masoklah pula iya kŭdalam tŭmpat bichara, lalu bŭrkata kapada Isa, Angkau ini deri mana? Maka tiadalah disahut Isa akan dia. Maka tŭtkala itu bŭrkatalah Pilatus kapadanya, Ta’mahukah angkau bŭrkata kata padaku, maka tiadakah angkau kŭtahui, bahwa aku bŭrkwasa mŭnsalibkan angkau, dan bŭrkwasa pula mŭlŭpaskan angkau? Maka disahut Isa, Bahwa tiada angkau bulih mŭmŭgang kwasa atasku ini, jikalau tiada dibri padamu deri atas; maka sŭbab itulah orang yang mŭnyŭrahkan aku kapadamu, maka iya itulah tŭrlebih bŭsar dosanya. Maka deripada kutika itulah Pilatus mŭncharikan jalan akan mŭlŭpaskan Isa, maka bŭrsrulah orang Yahudi katanya, Jikalau angkau lŭpaskan orang ini, maka bahwasanya bukannya angkau sahabat Kesar; maka barang siapa yang mŭnda’wa dirinya raja, iyalah bŭrmusoh dŭngan Kesar.

YOHANES 19:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Pilatus pun membawa Yesus dan mengarahkan supaya Yesus disesah. Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Yesus. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. Mereka datang kepada-Nya dan berkata, “Daulat Raja orang Yahudi!” lalu menampar-Nya. Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, “Lihat, aku bawa Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.” Yesus pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!” Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.” Orang Yahudi itu menjawab, “Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Anak Allah.” Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Dari manakah Kamu ini?” Tetapi Yesus tidak menjawab. Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.” Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, “Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah sahabat Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.”