Yohanes 19:1-12

Yohanes 19:1-12 AVB

Setelah itu, Pilatus pun membawa Yesus dan mengarahkan supaya Yesus disesah. Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Yesus. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. Mereka datang kepada-Nya dan berkata, “Daulat Raja orang Yahudi!” lalu menampar-Nya. Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, “Lihat, aku bawa Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.” Yesus pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!” Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.” Orang Yahudi itu menjawab, “Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Anak Allah.” Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Dari manakah Kamu ini?” Tetapi Yesus tidak menjawab. Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.” Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, “Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah sahabat Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yohanes 19:1-12