YOHANES 18:1-27

YOHANES 18:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus berdoa demikian, Dia pergi dengan pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di situ Yesus dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke sebuah taman. Yudas, pengkhianat itu, mengetahui tempat itu, kerana telah banyak kali Yesus berkumpul dengan pengikut-pengikut-Nya di situ. Oleh itu Yudas pergi ke tempat itu sambil membawa sepasukan askar Roma dan beberapa orang pengawal Rumah Tuhan yang disuruh oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh. Yesus mengetahui semua yang akan berlaku terhadap diri-Nya. Oleh itu Dia menghampiri mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, pengkhianat itu, berdiri dengan mereka di situ. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata, “Bukankah sudah Aku katakan bahawa Akulah Dia? Jika Aku yang kamu cari, biarkan pengikut-pengikut-Ku ini pergi.” ( Dia berkata demikian, supaya berlakulah apa yang dikatakan-Nya dahulu, “Ya Bapa, tidak seorang pun yang Engkau serahkan kepada-Ku akan sesat.”) Simon Petrus yang mempunyai sebilah pedang, menghunusnya lalu mengerat telinga kanan hamba Imam Agung. Nama hamba itu Malkhus. Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkanlah pedangmu kembali! Aku harus minum cawan penderitaan yang diberikan oleh Bapa kepada-Ku.” Kemudian askar-askar Roma dengan komandan mereka dan pengawal-pengawal Yahudi menangkap dan mengikat Yesus. Mula-mula mereka membawa Yesus menghadap Hanas, bapa mentua Kayafas. Kayafas bertugas sebagai Imam Agung pada tahun itu. Dialah yang menasihati para penguasa Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati untuk seluruh umat. Simon Petrus dan seorang pengikut lain mengikuti Yesus. Pengikut lain ini dikenal oleh Imam Agung. Oleh itu pengikut itu masuk bersama-sama Yesus ke halaman rumah Imam Agung, sedangkan Petrus menunggu di luar, di hadapan pintu. Kemudian pengikut lain itu, keluar lagi. Dia bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk ke dalam. Hamba perempuan yang menjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan.” Pada waktu itu udara sejuk. Para hamba dan pengawal di situ sudah menyalakan api arang dan sedang berdiang. Petrus menghampiri mereka dan berdiri berdiang dengan mereka. Imam Agung itu menyoal Yesus tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya. Yesus menjawab, “Aku sentiasa berkata-kata dengan terus terang di hadapan umum. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan di Rumah Tuhan, tempat semua orang Yahudi berkumpul. Tidak pernah Aku berkata apa-apa dengan sembunyi-sembunyi. Mengapakah kamu menyoal Aku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar Aku mengajar. Mereka mengetahui apa yang Aku katakan.” Ketika Yesus berkata demikian, salah seorang pengawal di situ menampar Dia sambil berkata, “Berani sungguh kamu berkata demikian kepada Imam Agung!” Yesus berkata kepadanya, “Jika Aku sudah berkata apa-apa yang salah, katakanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi jika kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar Aku?” Kemudian Hanas menyuruh orang membawa Yesus, yang masih terikat itu, kepada Imam Agung Kayafas. Simon Petrus masih juga berdiri berdiang di situ. Semua orang lain di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!” Seorang daripada hamba-hamba Imam Agung ada di situ. Dia saudara kepada orang yang telinganya dikerat oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang aku lihat di taman itu bersama-sama dia?” Petrus berkata lagi, “Bukan.” Tepat pada waktu itu ayam berkokok.

YOHANES 18:1-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA sŭtlah sudah Isa bŭrkata kata akan sagala pŭrkara itu, maka kluarlah iya sŭrta dŭngan sagala murid muridnya pŭrgi kŭsŭbrang anak sungie Kedron, maka adalah disana suatu kŭbon, lalu masoklah Isa sŭrta murid muridnya kŭdalam kŭbon itu. Adapun Yudas orang yang mŭnyŭrahkan Isa itupun tahulah tŭmpat itu, kŭrna kŭrap kali Isa sudah bŭrhimpun disana sŭrta dŭngan murid muridnya. Adapun sŭtlah sudah Yudas itu mŭndapat suatu pasukan lashkar dan bŭbrapa mata mata, deripada sagala kŭpala kŭpala Imam dan orang Farisia itu; maka datanglah iya kŭtŭmpat itu dŭngan tanglong dan suloh dan sŭnjata sŭnjata. Maka tŭlah dikŭtahuilah ulih Isa sagala pŭrkara yang akan bŭrlaku atasnya; maka kluarlah iya sambil bŭrkata kapada marika itu, Siapakah yang kamu chari? Maka sahut marika itu akan dia, Isa orang Nazareth itu; maka kata Isa pada marika ita, Bahwa akulah dia; maka Yudas yang mŭnyŭrahkan dia itupun adalah bŭrdiri sŭrta marika itu. Maka sŭrta iya bŭrkata pada marika itu, Akulah dia, maka tŭrundorlah marika itu kŭblakang lalu jatoh kŭbumi. Maka bŭrtanya pula Isa pada marika itu, Siapakah yang kamu chari? Maka kata marika itu, Isa orang Nazareth itu. Maka jawab Isa, Bukankah aku kata padamu, Bahwa aku inilah dia? sŭbab itu jikalau kamu mŭnchari aku, lŭpaskanlah orang orang ini biar pŭrgi. Supaya gŭnaplah pŭrkataan yang tŭlah dikatakan ulih Isa, Bahwa sagala orang yang tŭlah angkau kurniakan pada aku itu satu pun tiada yang hilang. Maka Simon Petros ada mŭmbawa pŭdang, maka dihunasnya, lalu ditŭtaknya akan hamba imam bŭsar itu putuslah tŭlinganya kanan; adapun nama hamba itu Malkus. Maka kata Isa pada Petros, Sarongkanlah pŭdangmu itu; adapun chawan minuman yang tŭlah dikurniakan ulih Ayahku akan daku itu, ta’kan jangan aku minum dia? Sŭtlah itu maka pasukan lashkar, sŭrta pŭnghulunya, dan hulubalang orang Yahudi itu pun datanglah mŭnangkap Isa, lalu diikatnya akan dia. Maka dibawanya akan Isa mula mula kapada Annas, kŭrna iya itu mŭntua Kiefas yang mŭnjadi kŭpala imam pada tahun itu. Adapun Kiefas itulah orang yang mŭmbri akhtiar pada orang orang Yahudi, katanya, Haruslah sa’orang mati akan ganti kaum ini skalian ¶ Maka Simon Petros, dan lagi sa’orang murid yang lain itu pun ada mŭngikot Isa, adapun murid itu dikŭnal ulih kŭpala imam, sŭrta masoklah iya bŭrsama sama dŭngan Isa kŭdalam balerong kŭpala imam itu. Tŭtapi Petros ada bŭrdiri diluar pintu, maka kluar murid lain itu yang dikŭnal ulih kŭpala imam itu, sŭrta bŭrkata kata dŭngan pŭrampuan pŭnunggu pintu, lalu dibawanya Petros masok. Maka kata pŭrampuan yang mŭnunggu pintu itu kapada Petros, Bukankah angkau pun murid orang itu? Maka jawab Petros, Bukan. Maka bŭrdirilah bŭbrapa hamba dan lashkar disitu, yang tŭlah mŭnjadikan api deripada arang, kŭrna musim dingin; maka bŭrgangganglah marika itu, maka Petros pun ada bŭrdiri disitu bŭrsama sama bŭrganggang. ¶ Bŭrmula maka bŭrtanyalah kŭpala imam itu akan Isa deripada hal murid muridnya, dan derihal pŭngajarannya. Maka disahut Isa akan dia, Bahwa dŭngan nyatanya juga aku tŭlah bŭrkata kata pada sagala isi dunia ini, maka slalu aku mŭngajar dalam kŭnisa, dan dalam ka’abah ditŭmpat sagala orang Yahudi sahari hari bŭrhimpon; maka bŭlom pŭrnah aku bŭrkata kata barang suatu dŭngan bŭrsŭmbunyi. Mŭngapa angkau bŭrtanya kapadaku? tanyalah kapada orang yang mŭnŭngar apa apa yang tŭlah kukatakan, bahwa marika itu kŭtahui barang yang tŭlah aku bŭrkata. Sŭtlah iya bŭrkata dŭmkian, maka ada sa’orang lashkar yang bŭrdiri dŭkatnya itu mŭnampar Isa katanya, Bŭgitukah angkau mŭnjawab pada imam bŭsar? Maka sahut Isa akan dia, Jikalau aku bŭrkata yang salah, unjokkanlah kŭsalahan itu; tŭtapi jikalau bŭtol, mŭngapa angkau mŭnampar aku? Maka Annas pun mŭnyuroh mŭmbawa Isa kapada Kiefas, imam bŭsar itu dŭngan ikat ikatnya. Bŭrmula maka Simon Petros ada lagi bŭrdiri bŭrganggang, maka kata orang padanya, Bukankah angkau pun sa’orang deripada murid murid orang itu? Maka bŭrsangkallah iya katanya, Bukan. Maka bŭrkata pula sa’orang lagi deripada sagala hamba imam bŭsar itu, maka iya itu kŭlorga orang yang diputuskan ulih Petros tŭlinganya itu, Bukankah aku tŭlah mŭlihat angkau didalam kŭbon bŭrsama sama orang itu? Maka bŭrsangkallah pula Petros lagi; maka skutika itu juga bŭrkokoklah ayam.

YOHANES 18:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah berdoa demikian, Yesus pergi diiringi murid-murid-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke taman itu. Yudas, yang mengkhianati Yesus, mengetahui tempat itu juga kerana Yesus kerap ke situ dengan murid-murid-Nya. Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa lantera, suluh serta senjata. Yesus mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, yang mengkhianati Yesus, berdiri bersama mereka di situ. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. Yesus bertanya lagi kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.” Yesus berkata, “Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.” (Dengan demikian terlaksanalah apa yang pernah dikatakan-Nya, “Tiada seorang pun yang Kauserahkan kepada-Ku sesat.”) Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar sehingga terputus. Nama hamba itu Malkus. Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum daripada cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?” Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Yesus. Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, imam besar pada tahun itu. Kayafas yang memang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa. Simon Petrus dan seorang murid lain ikut serta apabila Yesus dibawa pergi. Oleh sebab murid lain ini dikenali oleh imam besar, dia masuk bersama Yesus ke halaman rumah imam besar. Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, murid lain yang mengenal imam besar itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk. Kemudian hamba perempuan penjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan.” Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri di situ dan berdiang bersama mereka. Imam besar menyoal Yesus tentang murid-murid-Nya dan ajaran-Nya. Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap terang-terangan kepada dunia. Aku sering mengajar di saumaah dan di Bait Suci, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia. Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.” Seorang pegawai di situ menampar Yesus sambil berkata, “Begitukah Kamu bercakap kepada seorang imam besar?” Yesus berkata kepadanya, “Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?” Selepas itu, Hanas menyuruh orang membawa Yesus yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas. Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!” Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?” Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu, ayam berkokok.