YOHANES 18:1-11

YOHANES 18:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus berdoa demikian, Dia pergi dengan pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di situ Yesus dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke sebuah taman. Yudas, pengkhianat itu, mengetahui tempat itu, kerana telah banyak kali Yesus berkumpul dengan pengikut-pengikut-Nya di situ. Oleh itu Yudas pergi ke tempat itu sambil membawa sepasukan askar Roma dan beberapa orang pengawal Rumah Tuhan yang disuruh oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh. Yesus mengetahui semua yang akan berlaku terhadap diri-Nya. Oleh itu Dia menghampiri mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, pengkhianat itu, berdiri dengan mereka di situ. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata, “Bukankah sudah Aku katakan bahawa Akulah Dia? Jika Aku yang kamu cari, biarkan pengikut-pengikut-Ku ini pergi.” ( Dia berkata demikian, supaya berlakulah apa yang dikatakan-Nya dahulu, “Ya Bapa, tidak seorang pun yang Engkau serahkan kepada-Ku akan sesat.”) Simon Petrus yang mempunyai sebilah pedang, menghunusnya lalu mengerat telinga kanan hamba Imam Agung. Nama hamba itu Malkhus. Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkanlah pedangmu kembali! Aku harus minum cawan penderitaan yang diberikan oleh Bapa kepada-Ku.”

YOHANES 18:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA sŭtlah sudah Isa bŭrkata kata akan sagala pŭrkara itu, maka kluarlah iya sŭrta dŭngan sagala murid muridnya pŭrgi kŭsŭbrang anak sungie Kedron, maka adalah disana suatu kŭbon, lalu masoklah Isa sŭrta murid muridnya kŭdalam kŭbon itu. Adapun Yudas orang yang mŭnyŭrahkan Isa itupun tahulah tŭmpat itu, kŭrna kŭrap kali Isa sudah bŭrhimpun disana sŭrta dŭngan murid muridnya. Adapun sŭtlah sudah Yudas itu mŭndapat suatu pasukan lashkar dan bŭbrapa mata mata, deripada sagala kŭpala kŭpala Imam dan orang Farisia itu; maka datanglah iya kŭtŭmpat itu dŭngan tanglong dan suloh dan sŭnjata sŭnjata. Maka tŭlah dikŭtahuilah ulih Isa sagala pŭrkara yang akan bŭrlaku atasnya; maka kluarlah iya sambil bŭrkata kapada marika itu, Siapakah yang kamu chari? Maka sahut marika itu akan dia, Isa orang Nazareth itu; maka kata Isa pada marika ita, Bahwa akulah dia; maka Yudas yang mŭnyŭrahkan dia itupun adalah bŭrdiri sŭrta marika itu. Maka sŭrta iya bŭrkata pada marika itu, Akulah dia, maka tŭrundorlah marika itu kŭblakang lalu jatoh kŭbumi. Maka bŭrtanya pula Isa pada marika itu, Siapakah yang kamu chari? Maka kata marika itu, Isa orang Nazareth itu. Maka jawab Isa, Bukankah aku kata padamu, Bahwa aku inilah dia? sŭbab itu jikalau kamu mŭnchari aku, lŭpaskanlah orang orang ini biar pŭrgi. Supaya gŭnaplah pŭrkataan yang tŭlah dikatakan ulih Isa, Bahwa sagala orang yang tŭlah angkau kurniakan pada aku itu satu pun tiada yang hilang. Maka Simon Petros ada mŭmbawa pŭdang, maka dihunasnya, lalu ditŭtaknya akan hamba imam bŭsar itu putuslah tŭlinganya kanan; adapun nama hamba itu Malkus. Maka kata Isa pada Petros, Sarongkanlah pŭdangmu itu; adapun chawan minuman yang tŭlah dikurniakan ulih Ayahku akan daku itu, ta’kan jangan aku minum dia?

YOHANES 18:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah berdoa demikian, Yesus pergi diiringi murid-murid-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke taman itu. Yudas, yang mengkhianati Yesus, mengetahui tempat itu juga kerana Yesus kerap ke situ dengan murid-murid-Nya. Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa lantera, suluh serta senjata. Yesus mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, yang mengkhianati Yesus, berdiri bersama mereka di situ. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. Yesus bertanya lagi kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.” Yesus berkata, “Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.” (Dengan demikian terlaksanalah apa yang pernah dikatakan-Nya, “Tiada seorang pun yang Kauserahkan kepada-Ku sesat.”) Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar sehingga terputus. Nama hamba itu Malkus. Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum daripada cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami