Yohanes 18:1-11

Yohanes 18:1-11 AVB

Setelah berdoa demikian, Yesus pergi diiringi murid-murid-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke taman itu. Yudas, yang mengkhianati Yesus, mengetahui tempat itu juga kerana Yesus kerap ke situ dengan murid-murid-Nya. Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa lantera, suluh serta senjata. Yesus mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, yang mengkhianati Yesus, berdiri bersama mereka di situ. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. Yesus bertanya lagi kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.” Yesus berkata, “Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.” (Dengan demikian terlaksanalah apa yang pernah dikatakan-Nya, “Tiada seorang pun yang Kauserahkan kepada-Ku sesat.”) Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar sehingga terputus. Nama hamba itu Malkus. Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum daripada cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?”