YOHANES 16:1-15

YOHANES 16:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku sudah memberitahu kamu semua ini supaya kamu tidak kecewa sehingga tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan melarang kamu masuk ke rumah ibadat. Akan tiba masanya sesiapa yang membunuh kamu menyangka bahawa dengan perbuatan itu dia mengabdi kepada Allah. Mereka akan melakukan perkara-perkara ini terhadap kamu, kerana mereka belum mengenal Bapa ataupun Aku. Tetapi sekarang Aku sudah mengatakan semua ini kepada kamu, supaya apabila hal itu berlaku kelak, kamu akan ingat bahawa Aku sudah memberitahu kamu.” “Aku tidak memberitahu kamu hal ini dari permulaan, kerana Aku masih bersama-sama kamu. Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus Aku, tetapi tidak seorang pun daripada kamu bertanya, ‘Ke mana Guru mahu pergi?’ Sekarang kamu sedih, kerana Aku sudah memberitahu kamu hal ini. Tetapi apa yang Aku katakan kepada kamu benar: Untuk kebaikan kamu, lebih baik Aku pergi. Jika Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepada kamu. Apabila Dia datang kelak, Dia akan membuktikan kepada orang dunia bahawa pendapat mereka tentang dosa, tentang apa yang benar, dan tentang hukuman Allah, semuanya salah. Pendapat mereka tentang dosa salah, kerana mereka tidak percaya kepada-Ku. Pendapat mereka tentang apa yang benar itu salah, kerana Aku pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat Aku lagi. Pendapat mereka tentang hukuman Allah pun salah, kerana penguasa dunia ini sudah dihukum. Banyak lagi yang hendak Aku katakan kepada kamu, tetapi sekarang ini kamu belum sanggup menerimanya. Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya mengetahui segala kebenaran itu. Roh tidak akan mengatakan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan mengatakan apa yang didengar-Nya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku. Roh akan memuliakan Aku, kerana apa yang dinyatakan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku. Semua milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Itulah sebabnya Aku berkata bahawa apa yang disampaikan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku.”

YOHANES 16:1-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA sagala pŭrkara ini aku katakan padamu, supaya jangan masok shak dalam hati kamu. Kŭrna orang nanti tolakkan kamu kluar deri dalam kŭnisa, maka bahwasanya waktu akan datang, adapun orang yang mŭmbunoh kamu itu pada sangkanya iya bŭrbuat kŭbakhtian bagie Allah. Adapun sagala pŭrkara ini akan dipŭrbuat kapadamu, sŭbab marika itu tiada mŭngŭnal Ayah atau aku. Tŭtapi aku katakan padamu akan sagala pŭrkara ini, supaya apabila sampie kŭlak pada waktu itu, kamu bulih tŭringat, bahwa aku sudah mŭngatakan sagala pŭrkara ini kapadamu; adapun sagala pŭrkara itu aku tiada mŭngatakan padamu deripada mulanya, kŭrna aku ada lagi sŭrta dŭngan kamu. Tŭtapi skarang aku pŭrgilah kapadanya yang tŭlah munyurohkan aku, maka sa’orang pun tiada deripada kamu yang bŭrtanya kapadaku, kŭmana angkau handak pŭrgi? Maka sŭbab aku sudah mŭngatakan sagala pŭrkara ini padamu, maka pŭnohlah hatimu dŭngan kadukaan. Tŭtapi aku bŭrkata yang bŭnar kapadamu, bahwa bŭrfaidahlah padamu jikalau aku pŭrgi, kŭrna jikalau aku tiada pŭrgi, maka Pŭnghiburan itu pun tiada akan datang kapadamu, tŭtapi jikalau aku pŭrgi, maka aku akan mŭnyurohkan dia datang kapadamu. Maka apabila iya datang kŭlak, iyalah akan mŭnŭmplak isi dunia deripada hal dosa, dan deripada hal kŭbŭnaran, dan deripada hal hukum. Maka deripada hal dosa, sŭbab orang tiada pŭrchaya akan daku. Dan deripada hal kŭbŭnaran, sŭbab aku pŭrgi kapada Ayah, maka kamu tiada dapat mŭlihat aku lagi. Dan deripada hal hukum, sŭbab pŭnghulu dunia ini dihukumkan. Adapun maka adalah lagi bŭbrapa pŭrkara yang handak kukatakan padamu, akan tŭtapi tiada kamu bulih tŭrtanggong itu skarang. Tŭtapi apabila Roh yang bŭnar itu datang kŭlak, maka iyalah nanti mŭmbawa kamu kapada sagala yang bŭnar; kŭrna tiada iya bŭrkata kata deripada kahandak dirinya, mŭlainkan barang yang didŭngarnya, maka itulah dikatakannya, dan diunjokkannya pada kamu deripada pŭrkara yang lagi akan datang. Maka iya akan mŭmuliakan aku, kŭrna iya akan mŭngambil barang yang kupunyai, dan diunjokkannya kapada kamu. Adapun sagala pŭrkara yang Ayah punya itulah aku punya, maka sŭbab itulah aku bŭrkata, bahwa iya akan mŭngambil barang yang kupunyai, maka diunjokkannya kapadamu.

YOHANES 16:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Semua ini Kukatakan kepadamu supaya kamu tidak sesat. Mereka akan menyingkirkanmu daripada saumaah. Masanya akan tiba ketika semua orang yang membunuhmu menganggap bahawa dengan berbuat demikian dia mengabdi kepada Allah. Perkara ini akan dilakukan oleh mereka, kerana mereka belum mengenal baik Bapa mahupun Aku. Semua ini Kukatakan kepadamu supaya ketika berlaku nanti, kamu akan ingat bahawa Aku sudah pun memberitahumu. Aku tidak memberitahumu dari mulanya lagi kerana Aku masih bersamamu.” “Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus-Ku. Tiada seorang pun antaramu bertanya, ‘Ke mana Engkau hendak pergi?’ Sekarang hatimu bersedih, kerana Aku telah memberitahu perkara ini kepadamu. Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu. Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, perbenaran, dan penghakiman; tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku; tentang perbenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi; dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi. Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya. Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran datang, Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi. Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu. Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami