Yohanes 16:1-15

Yohanes 16:1-15 AVB

Semua ini Kukatakan kepadamu supaya kamu tidak sesat. Mereka akan menyingkirkanmu daripada saumaah. Masanya akan tiba ketika semua orang yang membunuhmu menganggap bahawa dengan berbuat demikian dia mengabdi kepada Allah. Perkara ini akan dilakukan oleh mereka, kerana mereka belum mengenal baik Bapa mahupun Aku. Semua ini Kukatakan kepadamu supaya ketika berlaku nanti, kamu akan ingat bahawa Aku sudah pun memberitahumu. Aku tidak memberitahumu dari mulanya lagi kerana Aku masih bersamamu.” “Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus-Ku. Tiada seorang pun antaramu bertanya, ‘Ke mana Engkau hendak pergi?’ Sekarang hatimu bersedih, kerana Aku telah memberitahu perkara ini kepadamu. Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu. Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, perbenaran, dan penghakiman; tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku; tentang perbenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi; dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi. Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya. Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran datang, Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi. Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu. Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.”