YOHANES 13:6-17

YOHANES 13:6-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Yesus sampai kepada Simon Petrus, Petrus berkata, “Adakah Tuhan akan membasuh kakiku?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak memahami apa yang sedang Aku lakukan, tetapi pada kemudian hari kamu akan faham.” Petrus berkata kepada Yesus, “Jangan Tuhan! Tuhan tidak boleh membasuh kakiku!” Tetapi Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuh kakimu, kamu bukan lagi pengikut-Ku.” Simon Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika demikian jangan basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!” Yesus berkata kepadanya, “Sesiapa sudah mandi, seluruh badannya bersih; dia perlu membasuh kaki sahaja. Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.” ( Yesus mengetahui siapa yang akan mengkhianati Dia. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.”) Setelah Yesus membasuh kaki mereka, Dia mengenakan jubah-Nya kembali lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang baru sahaja Aku lakukan untuk kamu? Kamu memanggil Aku Guru dan Tuhan. Benarlah panggilan kamu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Guru kamu, sudah membasuh kaki kamu, maka kamu wajib saling membasuh kaki. Aku sudah memberikan teladan kepada kamu semua, supaya kamu juga melakukan apa yang sudah Aku lakukan untuk kamu. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya. Seorang utusan tidak lebih penting daripada orang yang mengutusnya. Jika kamu mengetahui hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya.

YOHANES 13:6-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Arkian maka datanglah iya kapada Simon Petros, maka kata Petros padanya, Tuhan, adakah patut angkau mŭmbasoh kaki hamba ini? Maka disahut Isa katanya, Adapun pŭrbuatanku ini skarang tiada angkau tahu, mŭlainkan kumdian kŭlak angkau bulih tahu. Maka kata Petros padanya, Skali kali tiada kubri angkau mŭmbasohkan kakiku. Maka jawab Isa akan dia, Jikalau aku tiada basohkan dikau, maka angkau tiada dapat bahgian sŭrtaku. Maka bŭrkatalah Simon Petros akan dia, Tuhan, Jangankan kakiku sahja, mŭlainkan basohkanlah tanganku dan kŭpalaku pun. Maka kata Isa padanya, Bahwa orang yang tŭlah mandi itu, maka tiada harus dibasoh pula akan dia, mulainkan kakinya sahja, kŭrna sŭgŭnap tubohnya itu suchi adanya; maka kamulah suchi, tŭtapi bukannya sŭmua kamu. Kŭrna iya tŭlah mŭngŭtahui siapa yang akan mŭnipu dia; maka sŭbab itulah iya bŭrkata, Bukannya sŭmua kamu suchi. Bŭrmula tŭtkala sudahlah habis Isa mŭmbasoh kaki murid muridnya, dan mŭmakie bajunya, sŭrta dudok kŭmbali, maka katanya pada marika itu, Adakah kamu tahu apa yang kupŭrbuat padamu itu? Bahwa kamu mŭmanggil aku Guru dan Tuhan, maka bŭtollah katamu itu, kŭrna iyalah aku itu. Adapun jikalau aku ini Tuhan dan Guru juga tŭlah mŭmbasohkan kakimu, maka patutlah kamu mŭmbasoh kaki sa’orang kapada sa’orang pun. Kŭrna aku tŭlah mŭmbri tuladan pada kamu, supaya kamu bŭrbuat yang spŭrti aku tŭlah bŭrbuat padamu. Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa hamba itu tiada akan lebih deripada tuannya, dan surohan itu tiada akan lebih deripada yang mŭnyurohkan dia. Maka jikalau kamu kŭtahui akan sagala pŭrkara ini, sŭrta bŭrbuat akan dia, bŭrbahgialah kamu.

YOHANES 13:6-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, “Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!” Namun demikian, Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.” Simon Petrus berkata, “Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!” Yesus berkata kepadanya, “Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.” Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Bukan semua yang bersih.” Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri. Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya. Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.