Yohanes 13:6-17

Yohanes 13:6-17 AVB

Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, “Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!” Namun demikian, Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.” Simon Petrus berkata, “Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!” Yesus berkata kepadanya, “Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.” Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Bukan semua yang bersih.” Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri. Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya. Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yohanes 13:6-17