YOHANES 13:1-12
YOHANES 13:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Sehari sebelum Perayaan Paska, Yesus tahu bahawa tiba masanya Dia meninggalkan dunia ini dan kembali kepada Bapa. Yesus mengasihi semua pengikut-Nya di dunia, dan Dia tetap mengasihi mereka sampai akhir. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam. Iblis sudah menimbulkan hasrat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus. Yesus tahu bahawa Bapa sudah menyerahkan segala kekuasaan kepada-Nya. Yesus juga tahu bahawa Dia datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Oleh itu Yesus berdiri, menanggalkan jubah-Nya lalu mengikat sehelai tuala pada pinggang-Nya. Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu mula membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala yang terikat pada pinggang-Nya. Apabila Yesus sampai kepada Simon Petrus, Petrus berkata, “Adakah Tuhan akan membasuh kakiku?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak memahami apa yang sedang Aku lakukan, tetapi pada kemudian hari kamu akan faham.” Petrus berkata kepada Yesus, “Jangan Tuhan! Tuhan tidak boleh membasuh kakiku!” Tetapi Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuh kakimu, kamu bukan lagi pengikut-Ku.” Simon Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika demikian jangan basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!” Yesus berkata kepadanya, “Sesiapa sudah mandi, seluruh badannya bersih; dia perlu membasuh kaki sahaja. Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.” ( Yesus mengetahui siapa yang akan mengkhianati Dia. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.”) Setelah Yesus membasuh kaki mereka, Dia mengenakan jubah-Nya kembali lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang baru sahaja Aku lakukan untuk kamu?
YOHANES 13:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BŬRMULA maka adalah dahulu deripada hari raya langkah itu, Isa tŭlah mŭngŭtahui bahwa waktunya tŭlah sampielah akan bŭrpindah kluar deri dunia ini kapada Ayah, sŭdang iya mŭngasihi akan murid muridnya yang didalam dunia ini, maka dikasihnyalah akan dia itu sampie kapada kasudahan. Maka tŭngah makan malam, maka datanglah Iblis mŭnggrakkan hati Yudas Iskariot, iya itu anak Simon, supaya disŭrahkannya akan Isa kŭtangan musohnya. Maka tŭlah dikŭtahui ulih Isa, bahwa Ayah tŭlah mŭnyŭrahkan sagala pŭrkara kŭtangannya, dan lagi iya tŭlah datang deripada Allah, dan kŭmbali kapada Allah. Maka tŭngah makan bangunlah iya, lalu ditanggalkan bajunya, sŭrta mŭngambil sa’lie kain, lalu diikatnya pinggangnya: Maka dibubohnya ayer kŭdalam suatu bokor, lalu dibasohnya kaki murid muridnya, dan disapukannya dŭngan kain yang tŭrikat dipinggangnya itu. Arkian maka datanglah iya kapada Simon Petros, maka kata Petros padanya, Tuhan, adakah patut angkau mŭmbasoh kaki hamba ini? Maka disahut Isa katanya, Adapun pŭrbuatanku ini skarang tiada angkau tahu, mŭlainkan kumdian kŭlak angkau bulih tahu. Maka kata Petros padanya, Skali kali tiada kubri angkau mŭmbasohkan kakiku. Maka jawab Isa akan dia, Jikalau aku tiada basohkan dikau, maka angkau tiada dapat bahgian sŭrtaku. Maka bŭrkatalah Simon Petros akan dia, Tuhan, Jangankan kakiku sahja, mŭlainkan basohkanlah tanganku dan kŭpalaku pun. Maka kata Isa padanya, Bahwa orang yang tŭlah mandi itu, maka tiada harus dibasoh pula akan dia, mulainkan kakinya sahja, kŭrna sŭgŭnap tubohnya itu suchi adanya; maka kamulah suchi, tŭtapi bukannya sŭmua kamu. Kŭrna iya tŭlah mŭngŭtahui siapa yang akan mŭnipu dia; maka sŭbab itulah iya bŭrkata, Bukannya sŭmua kamu suchi. Bŭrmula tŭtkala sudahlah habis Isa mŭmbasoh kaki murid muridnya, dan mŭmakie bajunya, sŭrta dudok kŭmbali, maka katanya pada marika itu, Adakah kamu tahu apa yang kupŭrbuat padamu itu?
YOHANES 13:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sebelum Perayaan Paskah, Yesus tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Yesus mengasihi mereka hingga ke saat akhir. Semasa Yesus dan murid-murid-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus. Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya. Dengan demikian, Yesus berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya. Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah baldi lalu membasuh kaki murid-murid-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya. Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, “Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!” Namun demikian, Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.” Simon Petrus berkata, “Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!” Yesus berkata kepadanya, “Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.” Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Bukan semua yang bersih.” Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?