Yohanes 13:1-12

Yohanes 13:1-12 AVB

Sebelum Perayaan Paskah, Yesus tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Yesus mengasihi mereka hingga ke saat akhir. Semasa Yesus dan murid-murid-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus. Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya. Dengan demikian, Yesus berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya. Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah baldi lalu membasuh kaki murid-murid-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya. Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, “Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!” Namun demikian, Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.” Simon Petrus berkata, “Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!” Yesus berkata kepadanya, “Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.” Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Bukan semua yang bersih.” Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yohanes 13:1-12