YOHANES 11:17-35
YOHANES 11:17-35 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari. Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem. Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Yesus datang, dia pun keluar untuk menjumpai Yesus, tetapi Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup! Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?” “Ya Tuhan,” jawab Marta, “aku percaya bahawa Tuhan Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan yang dijanjikan untuk datang ke dunia ini.” Setelah Marta berkata demikian dia pun pergi memanggil Maria, saudaranya lalu berbisik kepadanya, “Guru di sini dan Dia memanggil kamu.” Mendengar hal itu, Maria cepat-cepat bangun lalu pergi menjumpai Yesus. ( Ketika itu, Yesus belum masuk ke kampung itu. Dia masih di tempat Marta menjumpai-Nya.) Orang Yahudi yang sedang menghibur Maria di rumah, mengikuti Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka dia hendak pergi ke kubur Lazarus untuk menangis di sana. Apabila Maria sampai ke tempat Yesus dan melihat Dia, Maria berlutut pada kaki Yesus dan berkata, “Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!” Apabila Yesus melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, Yesus sedih hati dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu mengubur dia?” Mereka menjawab, “Mari lihat, Tuhan.” Yesus menangis.
YOHANES 11:17-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka apabila Isa sampie, maka didapatinya akan Lazaras itu tŭlah ampat hari sudah dikuborkan. Bŭrmula adapun Bŭthani itu adalah jauhnya deri nŭgri Jerusalem hampir hampir dua mil. Maka adalah banyak orang Yahudi sudah datang kapada Martha dan Mŭriam, supaya mŭnghiburkan dia kŭrna saudaranya. Adapun dŭmi didŭngar ulih Martha, bahwa Isa datang itu, maka kluarlah iya bŭrtŭmu dŭngan dia, tŭtapi Mŭriam ada lagi dudok dirumah. Maka bŭrkatalah Martha kapada Isa, Tuhan, jikalau ada angkau disini, bahwa saudaraku itu tida kŭlak mati. Tŭtapi hamba tŭlah mŭngtahui, mŭskipun skarang ini, jikalau angkau mŭminta barang suatu kapada Allah, nŭschaya dibri Allah akan dikau. Maka kata Isa, Adapun saudaramu ini akan hidop pula. Maka jawab Martha, Bahwa hamba tahu iya akan bŭrbangkit dalam kiamat pada hari kumdian. Maka kata Isa padanya, Bahwa aku inilah kŭbangkitan itu, dan hidop itu; maka barang siapa yang pŭrchaya akan daku, mŭskipun iya mati sŭrasa iya hidop. Maka barang siapa yang hidop, sŭrta pŭrchaya akan daku, tiadalah iya mati slama lamanya; pŭrchayakah angkau itu? Maka sahut Martha padanya, Bŭtul Tuhan hamba pŭrchaya, angkaulah Almasih itu, dan Anak Allah itu yang patut datang kŭdalam dunia ini. Adapun sŭtlah habislah Martha bŭrkata itu, maka pŭrgilah iya mŭmanggil Mŭriam saudaranya itu diam diam, katanya, Bahwa Guru tŭlah datang mŭmanggil dikau. Maka sŭrta didŭngar ulih Mŭriam itu, lalu bangunlah iya dŭngan sŭgranya pŭrgi mŭndapatkan Isa. Kŭlakian maka Isa pun bŭlom sampie masok duson, mŭlainkan iya lagi diluar pada tŭmpat Martha bŭrtŭmu dŭngan dia itu. Bŭrmula maka orang orang Yahudi yang bŭrsama sama dŭngan Martha dalam rumah handak mŭnghiburkan dia, apabila marika itu mŭlihat Mŭriam bangun dŭngan sŭgranya lalu kluar, maka diikotnya akan dia sambil bŭrkata, Bahwa iya pŭrgi pada kubor, sŭbab handak mŭnangis disitu. Maka apabila Mŭriam sampie ditŭmpat Isa ada itu, sŭrta mŭlihat akan dia, maka iya pun jatohlah kŭkakinya, sŭrta katanya, Tuhan, jikalau kiranya ada angkau disini, bahwa saudaraku tiadalah mati. Maka apabila dilihat Isa akan Mŭriam mŭnangis, dan orang orang Yahudi datang bŭrsama sama itu pun mŭnangis, maka bŭrkŭlohlah dia dŭngan kŭsusahannya dalam hatinya: Sŭrta bŭrkata, Dimanakah kamu taroh akan dia? Maka bŭrkatalah marika itu, Tuhan, marilah lihat. Maka Isa pun mŭnangislah.
YOHANES 11:17-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam. Betania terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem. Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar Yesus datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?” Marta menjawab, “Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.” Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, “Guru ada di sini. Dia memanggilmu.” Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus. Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya. Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya. Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!” Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?” Mereka menjawab, “Marilah lihat, ya Tuhan.” Yesus menangis.