Yohanes 11:17-35

Yohanes 11:17-35 AVB

Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam. Betania terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem. Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar Yesus datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?” Marta menjawab, “Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.” Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, “Guru ada di sini. Dia memanggilmu.” Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus. Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya. Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya. Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!” Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?” Mereka menjawab, “Marilah lihat, ya Tuhan.” Yesus menangis.