YOHANES 11:1-44

YOHANES 11:1-44 Alkitab Berita Baik (BM)

Seorang lelaki bernama Lazarus sakit. Dia tinggal di Betania bersama-sama dua orang saudaranya yang bernama Maria dan Marta. ( Marialah yang menuangi kaki Tuhan dengan minyak wangi, lalu menyapunya dengan rambutnya. Lazarus yang sakit itu saudaranya.) Kedua-dua orang saudara ini mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, sahabat yang Tuhan kasihi itu sakit.” Apabila Yesus mendengar khabar itu, Dia berkata, “Penyakit ini tidak akan menyebabkan kematian Lazarus; hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Melalui hal ini Anak Allah akan dimuliakan.” Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus. Tetapi ketika Yesus menerima khabar bahawa Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita balik ke Yudea.” Pengikut-pengikut-Nya menjawab, “Guru, baru sahaja orang Yahudi di situ hendak merejam Guru, dan sekarang Guru mahu balik lagi ke sana?” Yesus berkata, “Bukankah siang hari lamanya dua belas jam? Sesiapa yang berjalan pada siang hari, tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya bagi dunia ini. Tetapi jika orang itu berjalan pada malam hari, dia tersandung kerana tiada cahaya padanya.” Setelah berkata demikian, Yesus melanjutkan pula, “Sahabat kita Lazarus sudah tidur, tetapi Aku akan pergi membangunkan dia.” Pengikut-pengikut Yesus berkata, “Guru, jika Lazarus tidur, dia akan sembuh.” Sebenarnya inilah yang dimaksudkan Yesus: Lazarus sudah meninggal. Tetapi mereka menyangka bahawa Yesus berkata Lazarus benar-benar tidur. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, “Lazarus sudah meninggal. Tetapi demi kebaikan kamu, Aku bersyukur kerana Aku tidak bersama-sama dia, supaya kamu boleh percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepada Lazarus.” Tomas yang disebut Si Kembar berkata kepada sesama pengikut Yesus, “Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya!” Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari. Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem. Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Yesus datang, dia pun keluar untuk menjumpai Yesus, tetapi Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup! Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?” “Ya Tuhan,” jawab Marta, “aku percaya bahawa Tuhan Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan yang dijanjikan untuk datang ke dunia ini.” Setelah Marta berkata demikian dia pun pergi memanggil Maria, saudaranya lalu berbisik kepadanya, “Guru di sini dan Dia memanggil kamu.” Mendengar hal itu, Maria cepat-cepat bangun lalu pergi menjumpai Yesus. ( Ketika itu, Yesus belum masuk ke kampung itu. Dia masih di tempat Marta menjumpai-Nya.) Orang Yahudi yang sedang menghibur Maria di rumah, mengikuti Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka dia hendak pergi ke kubur Lazarus untuk menangis di sana. Apabila Maria sampai ke tempat Yesus dan melihat Dia, Maria berlutut pada kaki Yesus dan berkata, “Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!” Apabila Yesus melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, Yesus sedih hati dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu mengubur dia?” Mereka menjawab, “Mari lihat, Tuhan.” Yesus menangis. Semua orang Yahudi di situ berkata, “Lihatlah! Dia sangat mengasihi Lazarus.” Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, “Dia dapat membuat orang buta melihat. Mengapa dia tidak dapat mencegah kematian Lazarus?” Yesus sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar. Lalu Yesus berkata, “Tepikan batu ini.” Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, “Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!” Yesus berkata kepada Marta, “Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?” Mereka mengetepikan batu itu, lalu Yesus menengadah ke langit dan berkata, “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, “Lazarus, keluar!” Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.”

YOHANES 11:1-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA maka adalah sa’orang orang sakit yang bŭrnama Lazaras, deri Bŭthani, diduson Mŭriam dan Martha, saudaranya pŭrampuan. Maka iya inilah Mŭriam yang mŭnggosok Tuhan dŭngan minyak bahu bahuan, dan yang mŭnyapu kakinya dŭngan rambutnya, iyalah yang ampunya saudara laki laki itu Lazaras yang sakit. Maka adalah kadua saudaranya pŭrampuan itu mŭnyuroh orang pŭrgi kapada Isa, katanya, Tengoklah Tuhan, orang yang angkau kasih itu sakit. Maka apabila Isa mŭnŭngar itu, lalu katanya, Adapun pŭnyakit itu bukannya akan mŭmbawa mati, mŭlainkan akan kŭmuliaan Allah, supaya Anak Allah dipŭrmuliakan deri sŭbabnya itu. Maka adalah Martha, dan saudaranya pŭrampuan, dan Lazaras itu dikasihi ulih Isa. Maka apabila didŭngar Isa Lazaras itu sakit, maka tinggallah iya pula lagi dua hari disitu juga. Shahadan maka kumdian deripada itu, maka bŭrkatalah iya kapada murid muridnya, Marilah kita pŭrgi kŭtanah Yahuda kŭmbali. Maka bŭrkatalah murid muridnya kapadanya, Hie Guru, bahru juga sŭdikit hari lalu ini, orang Yahudi handak mŭrŭjam angkau dŭngan batu, maka skarang handak pŭrgi kŭsanakah lagi angkau? Maka sahut Isa, Bukankah dalam sa’hari itu duablas jam? Maka jikalau barang siapa bŭrjalan pada siang hari itu, tiadalah iya tŭrantok adanya, sŭbab dilihatnya trang dunia. Tŭtapi jikalau orang bŭrjalan pada malam hari, maka tŭrantoklah iya, kŭrna tiada iya bŭrtrang. Maka sŭtlah habislah Isa mŭngatakan itu, maka katanya pula pada murid muridnya, Adapun sahabat kita Lazaras itu tidor, maka skarang aku handak pŭrgi mŭmbangunkan dia. Maka bŭrkatalah murid muridnya, Tuhan, jikalau iya tidor, sŭnanglah iya. Adapun Isa bŭrkata itu derihal kŭmatian Lazaras itu, tŭtapi pada sangka marika itu Isa bŭrkata kata itu akan hal Lazaras itu tidor handak mŭnyŭnangkan dirinya. Maka tŭtkala itu bŭrkatalah Isa pada marika itu dŭngan kŭtrangannya, Adapun Lazaras itu sudah mati. Sukalah aku kŭrna kamu, sŭbab aku tiada disana, supaya kamu kŭlak pŭrchaya; maka kandatilah, marilah kita pŭrgi kapadanya. Maka kata Thomas yang tŭrsŭbut Didimus kapada murid murid kawannya itu, Marilah kita pun pŭrgi supaya kita mati bŭrsama sama dŭngan dia. Maka apabila Isa sampie, maka didapatinya akan Lazaras itu tŭlah ampat hari sudah dikuborkan. Bŭrmula adapun Bŭthani itu adalah jauhnya deri nŭgri Jerusalem hampir hampir dua mil. Maka adalah banyak orang Yahudi sudah datang kapada Martha dan Mŭriam, supaya mŭnghiburkan dia kŭrna saudaranya. Adapun dŭmi didŭngar ulih Martha, bahwa Isa datang itu, maka kluarlah iya bŭrtŭmu dŭngan dia, tŭtapi Mŭriam ada lagi dudok dirumah. Maka bŭrkatalah Martha kapada Isa, Tuhan, jikalau ada angkau disini, bahwa saudaraku itu tida kŭlak mati. Tŭtapi hamba tŭlah mŭngtahui, mŭskipun skarang ini, jikalau angkau mŭminta barang suatu kapada Allah, nŭschaya dibri Allah akan dikau. Maka kata Isa, Adapun saudaramu ini akan hidop pula. Maka jawab Martha, Bahwa hamba tahu iya akan bŭrbangkit dalam kiamat pada hari kumdian. Maka kata Isa padanya, Bahwa aku inilah kŭbangkitan itu, dan hidop itu; maka barang siapa yang pŭrchaya akan daku, mŭskipun iya mati sŭrasa iya hidop. Maka barang siapa yang hidop, sŭrta pŭrchaya akan daku, tiadalah iya mati slama lamanya; pŭrchayakah angkau itu? Maka sahut Martha padanya, Bŭtul Tuhan hamba pŭrchaya, angkaulah Almasih itu, dan Anak Allah itu yang patut datang kŭdalam dunia ini. Adapun sŭtlah habislah Martha bŭrkata itu, maka pŭrgilah iya mŭmanggil Mŭriam saudaranya itu diam diam, katanya, Bahwa Guru tŭlah datang mŭmanggil dikau. Maka sŭrta didŭngar ulih Mŭriam itu, lalu bangunlah iya dŭngan sŭgranya pŭrgi mŭndapatkan Isa. Kŭlakian maka Isa pun bŭlom sampie masok duson, mŭlainkan iya lagi diluar pada tŭmpat Martha bŭrtŭmu dŭngan dia itu. Bŭrmula maka orang orang Yahudi yang bŭrsama sama dŭngan Martha dalam rumah handak mŭnghiburkan dia, apabila marika itu mŭlihat Mŭriam bangun dŭngan sŭgranya lalu kluar, maka diikotnya akan dia sambil bŭrkata, Bahwa iya pŭrgi pada kubor, sŭbab handak mŭnangis disitu. Maka apabila Mŭriam sampie ditŭmpat Isa ada itu, sŭrta mŭlihat akan dia, maka iya pun jatohlah kŭkakinya, sŭrta katanya, Tuhan, jikalau kiranya ada angkau disini, bahwa saudaraku tiadalah mati. Maka apabila dilihat Isa akan Mŭriam mŭnangis, dan orang orang Yahudi datang bŭrsama sama itu pun mŭnangis, maka bŭrkŭlohlah dia dŭngan kŭsusahannya dalam hatinya: Sŭrta bŭrkata, Dimanakah kamu taroh akan dia? Maka bŭrkatalah marika itu, Tuhan, marilah lihat. Maka Isa pun mŭnangislah. Maka kata orang Yahudi itu, Lihatlah, bagimana iya mŭngasihi akan dia. Maka adalah sŭtŭngah marika itu bŭrkata kata, Bukankah orang ini yang tŭlah mŭnchŭlekkan mata orang buta itu, juga bulih mŭnahankan orang ini deripada mati? Maka sŭbab itu bŭrkŭlohlah Isa pula akan dia, lalu pŭrgilah kakubor itu. Maka adalah tŭmpat itu suatu goa, ada dihadapannya sa’buah batu tŭrhantar. Maka kata Isa, Undorkanlah batu itu. Maka kata Martha, saudara orang yang mati itu, Tuhan, skarang sudah busoklah bahunya, kŭrna tŭlah ampat hari lamanya. Maka kata Isa pada pŭrampuan itu, Bahwa bukankah aku tŭlah bŭrkata kapadamu, asal angkau pŭrchaya sahja, maka angkau akan mŭlihat kŭmuliaan Allah? Maka diundorkan oranglah batu itu deri tŭmpat orang mati itu, sŭtlah itu maka tŭngadahlah Isa, sŭrta bŭrkata, Ya Ayah, bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapadamu, sŭbab angkau tŭlah mŭnŭrima doaku. Maka kukŭtahuilah bahwa angkau mŭnŭrima doaku pada sŭdiakala; tŭtapi sŭbab orang orang yang bŭrdiri disini, aku katakan itu, supaya marika itu pŭrchaya, bahwa angkaulah yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata kata dŭmkian, maka bŭrsrulah iya dŭngan swaranya yang nyaring katanya, Hie Lazaras, kluarlah angkau. Hata maka kluarlah orang yang tŭlah mati itu dŭngan bŭrikat kaki tangannya dŭngan kain kafan, dan mukanya pun bŭrbungkus dŭngan sapu tangan; maka kata Isa pada marika itu, Lŭpaskan, biarlah iya pŭrgi.

YOHANES 11:1-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Betania bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maria dan Marta. Maria, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Tuhan dan menyapunya dengan rambutnya. Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, dia yang Kaukasihi itu sakit.” Apabila menerima berita itu, Yesus berkata, “Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Anak Allah akan dimuliakan.” Yesus mengasihi Marta, Maria dan Lazarus. Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi. Kemudian Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah kita pulang ke Yudea.” Para murid-Nya menjawab, “Rabbi, bukankah orang Yahudi di situ baru sahaja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?” Yesus berkata, “Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini. Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.” Kemudian Yesus menambah, “Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.” Para murid Yesus berkata, “Tuhan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.” Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi murid-murid-Nya mengambil erti tidur yang biasa. Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka dengan jelas, “Lazarus sudah meninggal. Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.” Tomas yang disebut Didimus berkata kepada murid Yesus yang lain. “Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!” Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam. Betania terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem. Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar Yesus datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?” Marta menjawab, “Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.” Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, “Guru ada di sini. Dia memanggilmu.” Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus. Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya. Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya. Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!” Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?” Mereka menjawab, “Marilah lihat, ya Tuhan.” Yesus menangis. Semua orang Yahudi yang hadir berkata, “Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.” Namun demikian, ada yang berkata, “Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?” Yesus yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar. Yesus berkata, “Alihkan batu itu.” Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, “Tuhan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.” Yesus berkata kepada Marta, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?” Mereka mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.” Selepas itu, Yesus berseru lantang, “Lazarus, keluar!” Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami