YOHANES 10:22-30
YOHANES 10:22-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Di Yerusalem orang sedang merayakan Perayaan Pentahbisan Rumah Tuhan. Masa itu musim sejuk. Yesus sedang berjalan di Serambi Salomo di dalam Rumah Tuhan. Oleh itu orang Yahudi datang berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka bertanya, “Berapa lamakah guru mahu membiarkan kami ragu-ragu? Katakanlah dengan terus terang. Adakah guru Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Yesus menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Perbuatan yang Aku lakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang Aku. Kamu tidak mahu percaya kerana kamu bukan domba-domba-Ku. Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku. Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka dari tangan-Ku. Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa. Bapa dan Aku satu.”
YOHANES 10:22-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Bŭrmula maka datanglah kapada masa hari raya mŭnyuchikan ka’abah diJerusalem, iya itu pada musim dingin. Maka bŭrjalanlah Isa disrambi Sulieman dalam ka’abah. Maka adalah orang orang Yahudi mŭnglilingi dia, sambil bŭrkata kapadanya, Brapa lamakah angkau handak gondah hati kami? Maka jikalau angkau ini Almasih, katakanlah pada kami dŭngan kŭtrangannya. Maka sahut Isa kapada marika itu, Sudahlah aku katakan itu pada kamu, maka tiada juga kamu pŭrchaya; adapun sagala pŭrbuatan yang tŭlah kupŭrbuat dŭngan nama Ayahku, itulah juga mŭnjadi saksi deri halku. Tŭtapi kamu tiada pŭrchaya, sŭbab kamu ini bukannya deripada dombaku spŭrti yang kukatakan padamu. Adapun sagala domba itu mŭnurot tutorku, dan aku mŭngŭnal akan dia, dan iya mŭngikot akan daku. Dan aku mŭmbri kapadanya slamat yang kŭkal, dan skali kali tiada iya binasa slama lamanya, atau sa’orang pun tiada dapat mŭrampas deripada tanganku. Maka Ayahku yang tŭlah mŭmbri sagala domba itu padaku, iyalah lebih kuat deripada skalian, dan sa’orang pun tiada dapat mŭrampas dia deripada tangan Ayahku. Maka aku dan Ayah itu suatu juga.
YOHANES 10:22-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di Yerusalem, Perayaan Pentahbisan sedang disambut. Ketika itu musim sejuk, dan Yesus sedang berjalan di serambi Salomo di dalam Bait Suci. Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, “Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini Kristus?” Yesus menjawab, “Aku sudah pun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan nama Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku. Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku. Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku. Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapa pun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa. Aku dan Bapa adalah satu.”