YOHANES 1:35-50

YOHANES 1:35-50 Alkitab Berita Baik (BM)

Keesokan harinya Yohanes di tempat itu lagi dengan dua orang pengikutnya. Ketika dia nampak Yesus lalu di situ, dia berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah!” Kedua-dua orang pengikut itu mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikuti Yesus. Yesus berpaling dan nampak mereka sedang mengikuti Dia. Lalu Yesus bertanya, “Apa yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Rabbi, di manakah rabbi tinggal?” (Dalam bahasa Ibrani ‘rabbi’ bermakna ‘guru.’) “Marilah lihat,” kata Yesus. (Masa itu kira-kira pukul empat petang.) Mereka pun mengikut Dia dan melihat tempat Yesus tinggal. Lalu mereka tinggal bersama-sama Dia pada hari itu. Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu pergi mengikut Yesus, ialah Andreas saudara Simon Petrus. Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!” (‘Mesias’ sama dengan ‘Kristus’). Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus. Yesus memandang dia lalu berkata, “Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan disebut Kefas.” (Kefas sama dengan Petrus dan bermakna: bukit batu.) Keesokan harinya Yesus mengambil keputusan untuk pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus, lalu berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” ( Filipus berasal dari Betsaida, kota tempat Andreas dan Petrus tinggal.) Kemudian Filipus mencari Natanael dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan orang yang disebut oleh Musa di dalam Taurat, dan yang dituliskan oleh nabi-nabi. Dia Yesus anak Yusuf dari Nasaret.” Tetapi Natanael berkata, “Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” “Marilah lihat,” jawab Filipus. Apabila Yesus nampak Natanael datang kepada-Nya, Dia berkata tentang Natanael, “Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!” Natanael bertanya kepada Yesus, “Bagaimana tuan mengenal saya?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu.” Natanael berkata, “Guru, Guru Anak Allah! Guru Raja bangsa Israel!” Yesus berkata pula, “Adakah kamu percaya kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang jauh lebih besar daripada hal ini!”

YOHANES 1:35-50 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Klakian maka pada kaesokkan harinya, Yahya sŭrta dŭngan dua orang muridnya pun ada bŭrdiri: Sŭrta dilihatnya Isa bŭrjalan itu, katanya, Tengoklah anak domba Allah! Maka dŭmi didŭngar ulih kadua orang murid itu akan pŭrkataan itu, maka mŭngikotlah marika itu akan Isa. Maka bŭrpalinglah Isa apabila dilihatnya marika itu ada mŭngikot dia, maka katanya padanya, Apakah kamu chari? Maka mŭnyahutlah marika itu katanya, Ya Rabbi, (artinya Guru), dimanakah Tuan diam? Maka jawabnya, Marilah lihat. Lalu pŭrgilah marika itu mŭlihat tŭmpat Isa diam itu; maka tinggallah dia orang bŭrsama sama dŭngan dia pada hari itu, kŭrna waktu sudah sampie kira kira pukol ampat pŭtang. Maka adalah sa’orang deripada kadua marika itu yang mŭnŭugar pŭrkataan Yahya itu, dan yang mŭngikot akan Isa, iya itu Andria, saudaranya Simon Petros. Maka pada mula mulanya Andria itu pun pŭrgilah mŭndapatkan saudaranya Simon itu, sŭrta bŭrkata padanya, Kami sudah mŭndapat Messia, artinya, Almasih. Hata maka dibawalah ulih Andria akan Simon itu kapada Isa, maka apabila dilihat Isa akan dia, lalu katanya, Bahwa angkau ini Simon anak Yunas, maka angkaulah kŭlak akan dinamai Kiefas, adapun artinya itu batu. ¶ Sŭbarmula maka pada ka’esokkan harinya, maka Isa pun handak masok kanŭgri Galilia, lalu bŭrtŭmulah iya dŭngan Filipus, maka kata Isa padanya, Ikotlah akan daku. Adapun Filipus itu orang Bethsieda, iya itu sa’nŭgri dŭngan Andria dan Petros. Maka bŭrtŭmulah Filipus dŭngan Nathaniel, lalu bŭrkatalah iya padanya, Bahwa kami sudah mŭndapat orang yang tŭlah disuratkan ulih Musa dalam Tauret dan sagala nabi nabi pun, iya itulah Isa anak Yusof, orang Nazareth. Maka jawab Nathaniel bulihkah barang sŭsuatu pŭrkara yang baik itu kluar deri dalam Nazareth? Maka kata Pilipus padanya, marilah lihat. Sŭtlah dilihat Isa akan Nathaniel datang kapadanya itu maka bŭrkatalah iya, Lihatlah sa’orang orang Israil ini yang bŭtol maka tiada tipu daya padanya. Maka kata Nathniel padanya, Bagimana gŭrangannya angkau mŭngtahui aku; maka sahut Isa, Dahulu deripada dipanggil ulih Pilatus akan dikau, tŭtkala angkau lagi dibawah pohon ara itu, aku tŭlah mŭlihat angkau. Maka sahot Nathaniel katanya, Ya rabbi, angkaulah Anak Allah, dan angkaulah raja orang Israil. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Pŭrchayalah angkau, sŭbab aku bŭrkata aku tŭlah mŭlihat angkau dibawah pohon ara itu? bahwa angkau kŭlak akan mŭlihat pŭrkara pŭrkara yang tŭrlebih bŭsar deripada itu.

YOHANES 1:35-50 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari yang berikut, Yohanes berada di situ lagi bersama dua orang muridnya. Dia melihat lagi Yesus lalu di tempat itu dan dia berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah!” Apabila dua orang murid Yohanes itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Yesus. Yesus menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, “Apa hajatmu?” Mereka menjawab, “Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?” “Marilah lihat,” kata Yesus. Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira jam kesepuluh. Mereka pun tinggal bersama Yesus pada hari itu. Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikut Yesus ialah Andreas, saudara Simon Petrus. Andreas segera mencari Simon, saudaranya, dan berkata, “Kami telah bertemu dengan Mesias!” (“Mesias” bererti Kristus.) Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Yesus. Yesus memandang Simon lalu berkata, “Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan digelar Kefas.” (Kefas sama ertinya dengan Petrus.) Pada keesokan harinya, Yesus membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, “Ikutlah Aku.” Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Betsaida. Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, “Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam kitab Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Yesus anak Yusuf dari Nazaret.” Tetapi Natanael berkata, “Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nazaret?” “Marilah lihat,” balas Filipus. Ketika Yesus melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, “Ini orang Israel tulen, tiada yang palsu pada dirinya.” Natanael bertanya, “Bagaimana Engkau mengenal aku?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu.” Natanael berseru, “Rabbi, Engkau Anak Allah! Engkau Raja bangsa Israel!” Yesus berkata, “Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!”