Yohanes 1:35-50

Yohanes 1:35-50 AVB

Pada hari yang berikut, Yohanes berada di situ lagi bersama dua orang muridnya. Dia melihat lagi Yesus lalu di tempat itu dan dia berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah!” Apabila dua orang murid Yohanes itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Yesus. Yesus menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, “Apa hajatmu?” Mereka menjawab, “Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?” “Marilah lihat,” kata Yesus. Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira jam kesepuluh. Mereka pun tinggal bersama Yesus pada hari itu. Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikut Yesus ialah Andreas, saudara Simon Petrus. Andreas segera mencari Simon, saudaranya, dan berkata, “Kami telah bertemu dengan Mesias!” (“Mesias” bererti Kristus.) Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Yesus. Yesus memandang Simon lalu berkata, “Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan digelar Kefas.” (Kefas sama ertinya dengan Petrus.) Pada keesokan harinya, Yesus membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, “Ikutlah Aku.” Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Betsaida. Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, “Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam kitab Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Yesus anak Yusuf dari Nazaret.” Tetapi Natanael berkata, “Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nazaret?” “Marilah lihat,” balas Filipus. Ketika Yesus melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, “Ini orang Israel tulen, tiada yang palsu pada dirinya.” Natanael bertanya, “Bagaimana Engkau mengenal aku?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu.” Natanael berseru, “Rabbi, Engkau Anak Allah! Engkau Raja bangsa Israel!” Yesus berkata, “Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yohanes 1:35-50