YOHANES 1:19-34

YOHANES 1:19-34 Alkitab Berita Baik (BM)

Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.” “Jika demikian, siapakah kamu?” tanya mereka. “Adakah kamu Elia?” “Bukan,” jawab Yohanes. “Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka lagi. “Bukan,” jawabnya. “Katakanlah siapa kamu ini,” kata mereka, “kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?” Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, “Aku ini: ‘Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!’ ” Mereka yang diutus oleh orang Farisi, kemudian bertanya kepada Yohanes, “Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang. Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.” Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.”

YOHANES 1:19-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bahwa inilah yang disaksikan ulih Yahya, apabila disuroh ulih orang Yahudi akan iman imam dan orang orang Liwi deri Jŭrusalem itu bŭrtanya kapadanya, Siapakah angkau? Maka mŭngakulah iya tiada dŭngan bŭrsangkal, hanya diakuinya, Bukannya aku ini Almasih. Maka bŭrtanya marika itu kapadanya, baiklah, siapa, angkaukah Illia? Maka jawabnya bukan; Angkaukah Nabi itu? Maka jawabnya bukan. Kumdian maka kata marika itu kapadanya, siapatah angkau, supaya kami bulih mŭmbri jawab akan orang orang yang mŭnyurohkan kami ini, apatah katamu derihal derimu ini? Maka bŭrkatalah iya, Bahwa aku inilah suara sa’orang yang bŭrsru dipadang bŭlantara katanya, Bŭtolkanlah jalan Tuhan spŭrti yang tŭlah dikatakan ulih nabi Jesia. Maka adapun orang orang yang disurohkan iya itu deripada orang Farisia. Maka bŭrtanyalah marika itu akan dia, Jikalau angkau bukan Almasih, atau bukan Ilia, atau bukan nabi itu, mŭngapakah angkau mŭmbaptisakan juga orang. Maka jawab Yahya pada marika itu katanya, Aku mŭmbaptisakan dŭngan ayer, tŭtapi ada diantaramu sa’orang yang tiada kamu kŭnal akan dia. Bahwa iya itulah dia yang datang kumdian deripada aku, tŭlah dilebihkan iya deripadaku, tiadalah bŭlom aku ini mŭnguriekan rtalit iyapanya. Maka sagala pŭrkara ini tŭlah mŭnjadi diBethabara aya itu disŭbrang sungie Jordan, ditŭmpat Yahya mŭmbaptisakan orang. ¶ Arkian maka pada kaesokkan harinya, dilihat Yahya akan Isa datang kapadanya, lalu kata Yahya, Tengoklah anak domba Allah yang mŭnanggong dosa isi dunia ini. Maka inilah dia yang tŭlah kukatakan, akan datang sa’orang kumdian deripadaku, yang tŭlah dilebihkan dia deri padaku, kŭrna iya itu tŭlah tŭrdahulu deripadaku. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi supaya iya itu patut dinyatakan pada orang Israil, sŭbab itulah aku datang mŭmbaptisakan orang dŭngan ayer. Sŭbarmula maka bŭrsaksilah Yahya katanya, Bahwa aku tŭlah mŭlihat Roh itu turon deri langit spŭrti rupa mŭrpati lalu diam ka’atasnya. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi yang mŭnyurohkan aku akan baptisakan dŭngan ayer, maka iyalah tŭlah bŭrkata padaku, adapun orang yang angkau lihat Roh itu turon diam ka’atasnya, maka iya itulah kŭlak yang mŭmbaptisakan orang dŭngan Roh Alkudus. Maka aku tŭlah mŭlihat itu, sŭrta bŭrsaksi inilah dia Anak Allah adanya.

YOHANES 1:19-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah kesaksian Yohanes, apabila orang Yahudi di Yerusalem mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku, “Aku bukanlah Kristus.” Mereka bertanya, “Jadi, kamu ini siapa? Elia?” “Bukan,” jawabnya. “Adakah kamu Nabi?” Dia menjawab, “Bukan.” Kemudian mereka berkata, “Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?” Yohanes menjawab, “Aku ini satu suara yang berseru di gurun, ‘Luruskanlah jalan untuk Tuhan,’ sebagaimana kata Nabi Yesaya.” Antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi. Mereka terus menyoal, “Mengapakah kamu membaptis orang, kiranya kamu bukan Kristus, bukan Elia dan bukan pula Nabi?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air, tetapi dalam kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali, iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini terjadi di Betania, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yohanes membaptis orang. Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia! Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku. Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan membaptis orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.” Yohanes memberikan kesaksian: “Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk membaptis orang dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Kudus.’ Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Anak Allah.”