Yohanes 1:19-34

Yohanes 1:19-34 AVB

Inilah kesaksian Yohanes, apabila orang Yahudi di Yerusalem mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku, “Aku bukanlah Kristus.” Mereka bertanya, “Jadi, kamu ini siapa? Elia?” “Bukan,” jawabnya. “Adakah kamu Nabi?” Dia menjawab, “Bukan.” Kemudian mereka berkata, “Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?” Yohanes menjawab, “Aku ini satu suara yang berseru di gurun, ‘Luruskanlah jalan untuk Tuhan,’ sebagaimana kata Nabi Yesaya.” Antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi. Mereka terus menyoal, “Mengapakah kamu membaptis orang, kiranya kamu bukan Kristus, bukan Elia dan bukan pula Nabi?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air, tetapi dalam kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali, iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini terjadi di Betania, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yohanes membaptis orang. Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia! Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku. Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan membaptis orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.” Yohanes memberikan kesaksian: “Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk membaptis orang dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Kudus.’ Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Anak Allah.”