YEREMIA 7:3-15
YEREMIA 7:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN menyuruh aku pergi ke Rumah TUHAN dan berdiri di pintu gerbang yang dilalui penduduk Yehuda ketika mereka datang untuk beribadat. Dia menyuruh aku mengumumkan firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada mereka, “Ubahlah kelakuan dan cara hidup kamu, maka Aku akan membenarkan kamu tetap tinggal di sini. Jangan percaya kepada kata-kata dusta ini, ‘Kita aman, kerana ini Rumah TUHAN. Sungguh ini Rumah TUHAN! Memang ini Rumah TUHAN!’ Ubahlah cara hidup dan kelakuan kamu. Berlakulah adil terhadap satu sama lain. Jangan tindas bangsa asing, anak yatim piatu dan balu. Jangan bunuh orang yang tidak bersalah di negeri ini. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana perbuatan itu akan membinasakan kamu. Jika kamu mengubah cara hidup dan kelakuan kamu serta berhenti melakukan semua itu, Aku akan membenarkan kamu tetap tinggal di negeri ini yang telah Kuberikan kepada nenek moyang kamu sebagai tanah pusaka. Kamu percaya kepada kata-kata dusta. Kamu mencuri, membunuh, berzina, memberi kesaksian dusta, mempersembahkan korban kepada Baal, dan menyembah dewa-dewa yang tidak pernah kamu kenal. Selepas kamu lakukan semua itu, kamu datang menghadap Aku di Rumah-Ku sendiri, lalu berkata, ‘Kami aman!’ Kemudian kamu meneruskan perbuatan kamu yang keji itu. Adakah kamu menyangka bahawa Rumah-Ku ini tempat persembunyian perompak? Aku telah nampak semua perbuatan kamu itu. Pergilah ke Silo, kota yang mula-mula Kupilih sebagai tempat orang beribadat kepada-Ku. Lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana dosa umat-Ku Israel. Kamu melakukan semua dosa itu; sekalipun Aku berfirman kepada kamu berkali-kali, kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mahu menyahut ketika Aku memanggil kamu. Oleh itu, apa yang Kulakukan terhadap Silo akan Kulakukan terhadap Rumah-Ku ini, tempat yang kamu harapkan. Tempat yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu dan kepada kamu ini akan Kuperlakukan seperti Silo. Aku akan mengusir kamu dari hadirat-Ku seperti Aku mengusir sanak keluarga kamu, orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
YEREMIA 7:3-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: “Perbaiklah perilakumu dan perbuatanmu, maka Aku akan membiarkan kamu diam di tempat ini. Jangan percaya kepada perkataan dusta yang berbunyi, ‘Inilah Bait Suci TUHAN, Bait Suci TUHAN, Bait Suci TUHAN.’ Jika kamu sungguh-sungguh memperbaik perilakumu dan perbuatanmu, jika kamu sungguh-sungguh melaksanakan keadilan antara satu sama lain, tidak menindas pendatang, anak yatim, dan balu, tidak menumpahkan darah orang yang tidak bersalah di tempat ini, dan tidak mengikuti tuhan-tuhan lain yang akan mendatangkan kemalangan terhadap dirimu sendiri, maka Aku akan membiarkan kamu diam di tempat ini, di negeri yang telah Kukurniakan kepada nenek moyangmu sejak dahulukala untuk selama-lamanya. Tetapi kamu percaya kepada perkataan dusta yang tidak memberikan faedah. Masakan kamu mencuri, membunuh, berzina, bersumpah dusta, membakar dupa bagi Baal, dan mengikuti tuhan-tuhan lain yang tidak kamu kenal, kemudian datang dan berdiri di hadirat-Ku dalam bait yang disebut dengan nama-Ku ini, sambil berkata, ‘Kita diselamatkan,’ — sehingga dapat melakukan segala kekejian ini? Adakah bait yang disebut dengan nama-Ku ini sudah kamu anggap sebagai sarang penyamun? Sesungguhnya, Aku sendiri melihatnya,” demikianlah firman TUHAN. “Pergilah ke tempat suci-Ku di Silo, tempat Aku menegakkan nama-Ku pada mula-mulanya, dan lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana kejahatan umat-Ku Israel! Kamu telah melakukan segala perbuatan itu,” demikianlah firman TUHAN, “walaupun Aku telah terus-menerus berfirman kepadamu tetapi kamu tidak mahu mendengar, dan Aku telah berseru kepadamu tetapi kamu tidak mahu menjawab. Maka sekarang, seperti yang Kulakukan terhadap Silo, demikianlah akan Kulakukan terhadap bait yang disebut dengan nama-Ku, yang kamu harapkan itu, serta terhadap tempat yang telah Kukurniakan kepadamu dan kepada nenek moyangmu. Aku akan membuang kamu dari hadirat-Ku, sebagaimana Aku membuang semua saudaramu, iaitu seluruh keturunan Efraim.” ’ ”