Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: “Perbaiklah perilakumu dan perbuatanmu, maka Aku akan membiarkan kamu diam di tempat ini. Jangan percaya kepada perkataan dusta yang berbunyi, ‘Inilah Bait Suci TUHAN, Bait Suci TUHAN, Bait Suci TUHAN.’
Jika kamu sungguh-sungguh memperbaik perilakumu dan perbuatanmu, jika kamu sungguh-sungguh melaksanakan keadilan antara satu sama lain, tidak menindas pendatang, anak yatim, dan balu, tidak menumpahkan darah orang yang tidak bersalah di tempat ini, dan tidak mengikuti tuhan-tuhan lain yang akan mendatangkan kemalangan terhadap dirimu sendiri, maka Aku akan membiarkan kamu diam di tempat ini, di negeri yang telah Kukurniakan kepada nenek moyangmu sejak dahulukala untuk selama-lamanya.
Tetapi kamu percaya kepada perkataan dusta yang tidak memberikan faedah. Masakan kamu mencuri, membunuh, berzina, bersumpah dusta, membakar dupa bagi Baal, dan mengikuti tuhan-tuhan lain yang tidak kamu kenal, kemudian datang dan berdiri di hadirat-Ku dalam bait yang disebut dengan nama-Ku ini, sambil berkata, ‘Kita diselamatkan,’ — sehingga dapat melakukan segala kekejian ini? Adakah bait yang disebut dengan nama-Ku ini sudah kamu anggap sebagai sarang penyamun? Sesungguhnya, Aku sendiri melihatnya,” demikianlah firman TUHAN.
“Pergilah ke tempat suci-Ku di Silo, tempat Aku menegakkan nama-Ku pada mula-mulanya, dan lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana kejahatan umat-Ku Israel! Kamu telah melakukan segala perbuatan itu,” demikianlah firman TUHAN, “walaupun Aku telah terus-menerus berfirman kepadamu tetapi kamu tidak mahu mendengar, dan Aku telah berseru kepadamu tetapi kamu tidak mahu menjawab. Maka sekarang, seperti yang Kulakukan terhadap Silo, demikianlah akan Kulakukan terhadap bait yang disebut dengan nama-Ku, yang kamu harapkan itu, serta terhadap tempat yang telah Kukurniakan kepadamu dan kepada nenek moyangmu. Aku akan membuang kamu dari hadirat-Ku, sebagaimana Aku membuang semua saudaramu, iaitu seluruh keturunan Efraim.” ’ ”