YEREMIA 20:7-13
YEREMIA 20:7-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, Engkau telah menipu aku dan aku telah tertipu. Engkau lebih kuat daripada aku dan telah mengalahkan aku. Aku diejek oleh setiap orang, dihina dari pagi sampai petang. Setiap kali aku berkata-kata, aku mesti berteriak sekuat-kuatnya, “Keganasan! Kemusnahan!” Ya TUHAN, aku diejek dan dihina setiap waktu, kerana aku menyampaikan perkhabaran-Mu. Tetapi apabila aku berkata, “Biarlah aku melupakan TUHAN, aku tidak mahu berucap demi nama-Nya lagi,” maka perkhabaran-Mu bagaikan api yang membara dalam hati sanubari. Aku telah cuba menahannya, tetapi aku tidak berdaya. Aku mendengar orang berbisik di mana-mana, “Ketakutan merajalela! Mari laporkan dia kepada yang berkuasa!” Bahkan semua sahabat karibku menunggu kejatuhanku. Mereka berkata, “Mungkin dengan penipuan, dia dapat kita kalahkan, supaya dapatlah kita membalas dendam kepadanya.” Tetapi, Engkau, ya TUHAN, memihak aku; Engkau kuat dan perkasa. Mereka yang menganiaya aku akan jatuh dan tidak berdaya. Mereka akan dipermalukan selama-lamanya, kerana rancangan mereka tidak berjaya. Kehinaan mereka itu akan diingat selalu. Tetapi, ya TUHAN Yang Maha Kuasa, dengan adil Engkau menguji manusia; Engkau tahu akan isi hati dan fikiran mereka. Oleh itu perkenanlah aku melihat Engkau membalas kejahatan musuhku, kerana aku menyerahkan perkaraku kepada-Mu. Bernyanyilah bagi TUHAN! Pujilah TUHAN! Dia melepaskan orang tertindas daripada kuasa orang durjana.
YEREMIA 20:7-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Engkau telah memperdaya aku, ya TUHAN, dan aku terperdaya. Engkau lebih kuat daripada aku dan Engkau menang. Sepanjang hari aku menjadi bahan tertawaan, semua orang mengolok-olokkan aku. Setiap kali aku berbicara, aku harus berteriak. Aku berseru, “Kekerasan! Perompakan!” Kerana penyampaian firman TUHAN telah membuat aku dicela dan dicemuh sepanjang hari. Kalau aku berfikir, “Aku tidak mahu menyebut-nyebut Dia dan tidak mahu berbicara lagi atas nama-Nya,” maka dalam hatiku ada sesuatu seperti api yang menyala-nyala, terkurung dalam tulang-tulangku. Aku berlelah-lelah menahannya, tetapi aku tidak sanggup. Aku mendengar banyak bisikan orang: “Kegentaran dari segala jurusan! Adukanlah dia! Kami pun mahu mengadukannya!” Semua sahabat karibku menunggu kejatuhanku, “Mudah-mudahan dia terperdaya, sehingga kami dapat mengalahkan dia dan membalas dia.” Tetapi TUHAN menyertai aku seperti kesateria yang hebat, sebab itu para pengejarku akan tersandung dan tidak akan menang. Mereka akan sangat malu kerana tidak bertindak bijaksana, aib mereka kekal, tidak dilupakan orang. Ya TUHAN alam semesta, yang menguji orang benar, yang mengamati hati dan batin, biarlah kulihat pembalasan-Mu terhadap mereka, kerana kepada-Mulah kunyatakan perkaraku. Menyanyilah bagi TUHAN! Pujilah TUHAN! Kerana Dia telah melepaskan nyawa orang miskin daripada tangan orang jahat.