YEREMIA 11:1-8
YEREMIA 11:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepadaku, “Perhatikanlah syarat-syarat perjanjian yang Aku buat dengan umat-Ku. Beritahulah penduduk Yehuda dan penduduk Yerusalem bahawa Aku, TUHAN, Allah Israel, mengutuk setiap orang yang tidak mentaati syarat-syarat perjanjian itu. Aku telah membuat perjanjian itu dengan nenek moyang mereka apabila Aku memimpin mereka keluar dari Mesir, negeri yang seperti neraka bagi mereka. Aku menyuruh mereka taat kepada-Ku dan melakukan segala yang telah Kuperintahkan. Aku memberitahu mereka bahawa jika mereka taat kepada-Ku, mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka. Jika mereka melakukan semuanya, Aku akan menepati janji-Ku kepada nenek moyang mereka bahawa negeri yang subur dan makmur, yang sekarang didiami oleh mereka, akan Kuberikan kepada mereka.” Aku menjawab, “Baiklah, TUHAN.” Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah ke kota-kota di Yehuda dan ke jalan-jalan di Yerusalem. Isytiharkanlah perkhabaran-Ku kepada orang di sana dan suruh mereka memperhatikan serta mentaati syarat-syarat perjanjian. Ketika Aku memimpin nenek moyang mereka keluar dari Mesir, dengan tegas Aku memperingatkan mereka supaya taat kepada-Ku. Sampai hari ini pun Aku masih memperingatkan umat-Ku tentang hal itu, tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu taat. Malahan mereka tetap degil dan jahat seperti dahulu. Aku telah memerintahkan mereka mentaati perjanjian, tetapi mereka tidak mahu. Oleh itu, Aku menimpai mereka segala hukuman yang disebut dalam perjanjian itu.”
YEREMIA 11:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demikianlah firman yang datang daripada TUHAN kepada Yeremia, “Dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini dan sampaikannya kepada orang Yehuda serta kepada penduduk Yerusalem. Katakan kepada mereka, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Terkutuklah orang yang tidak mahu mendengar kata-kata dalam perjanjian ini, yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyangmu pada waktu Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, negeri bak relau peleburan besi. Firman-Ku: Patuhilah Aku dan bertindaklah menurut segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu, maka kamu akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu. Dengan begitu Aku akan menepati sumpah yang telah Kuberikan kepada nenek moyangmu untuk mengurniakan sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu kepada mereka, sebagaimana nyata pada hari ini.’ ” Lalu aku menjawab, “Amin, ya TUHAN!” Firman TUHAN kepadaku, “Serukanlah semua kata ini di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Katakan, ‘Dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini dan lakukannya! Aku sungguh-sungguh mengingatkan nenek moyangmu pada waktu Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Sampai hari ini pun Aku terus-menerus mengingatkan mereka demikian, “Patuhilah Aku.” Tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memasang telinga. Sebaliknya, setiap orang mengikuti kedegilan hatinya yang jahat. Oleh sebab itu Aku mendatangi mereka segala kata perjanjian ini, yang telah Kuperintahkan untuk dilakukan tetapi tidak dilakukan mereka.’ ”