Yeremia 11:1-8

Yeremia 11:1-8 AVB

Demikianlah firman yang datang daripada TUHAN kepada Yeremia, “Dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini dan sampaikannya kepada orang Yehuda serta kepada penduduk Yerusalem. Katakan kepada mereka, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Terkutuklah orang yang tidak mahu mendengar kata-kata dalam perjanjian ini, yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyangmu pada waktu Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, negeri bak relau peleburan besi. Firman-Ku: Patuhilah Aku dan bertindaklah menurut segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu, maka kamu akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu. Dengan begitu Aku akan menepati sumpah yang telah Kuberikan kepada nenek moyangmu untuk mengurniakan sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu kepada mereka, sebagaimana nyata pada hari ini.’ ” Lalu aku menjawab, “Amin, ya TUHAN!” Firman TUHAN kepadaku, “Serukanlah semua kata ini di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Katakan, ‘Dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini dan lakukannya! Aku sungguh-sungguh mengingatkan nenek moyangmu pada waktu Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Sampai hari ini pun Aku terus-menerus mengingatkan mereka demikian, “Patuhilah Aku.” Tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memasang telinga. Sebaliknya, setiap orang mengikuti kedegilan hatinya yang jahat. Oleh sebab itu Aku mendatangi mereka segala kata perjanjian ini, yang telah Kuperintahkan untuk dilakukan tetapi tidak dilakukan mereka.’ ”