HAKIM-HAKIM 6:11-27
HAKIM-HAKIM 6:11-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia. Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!” Gideon berkata kepadanya, “Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian.” Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, “Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau.” Gideon menjawab, “Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku.” TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja.” Gideon berkata, “Jika aku betul-betul diperkenan oleh Tuhan, berilah aku bukti bahawa TUHAN yang memberikan perintah itu kepada aku. Tolong jangan pergi sebelum aku membawa persembahan untuk Tuhan.” Dia menjawab, “Aku akan menunggu sehingga engkau kembali.” Oleh itu Gideon pulang ke rumah lalu memasak seekor kambing muda. Dia juga mengambil sepuluh kilogram tepung, kemudian membuat roti yang tidak beragi. Dia meletakkan daging itu di dalam bakul dan kuahnya di dalam belanga, lalu membawa semua itu dan menghidangnya kepada malaikat yang sedang menunggu di bawah pokok oak. Malaikat TUHAN berkata kepadanya, “Letakkanlah daging dan roti itu di atas batu ini dan tuanglah kuah daging itu ke atas semuanya.” Gideon berbuat demikian. Kemudian malaikat TUHAN menghulurkan kayu yang dipegangnya, dan menyentuh daging dan roti dengan hujung kayu itu. Batu itu menyala lalu menghanguskan daging dan roti itu. Kemudian malaikat itu hilang dari pandangan. Gideon menyedari bahawa yang telah datang kepadanya itu malaikat TUHAN. Dengan takut Gideon berkata, “Ya TUHAN Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!” Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, “Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati.” Gideon membina sebuah mazbah untuk TUHAN di sana dan menamakannya “TUHAN Sumber Kesejahteraan”. Sampai sekarang mazbah itu masih ada di Ofra, kota milik puak Abiezer. Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Ambillah seekor lembu jantan milik bapamu, iaitu lembu jantan yang terbaik yang berumur tujuh tahun. Bongkarlah mazbah yang dibina oleh bapamu untuk Baal, dan robohlah tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu. Binalah sebuah mazbah yang batunya disusun dengan baik di atas timbunan itu; mazbah itu bagi TUHAN, Allahmu. Kemudian ambillah lembu itu dan bakarlah seluruhnya sebagai korban. Gunakanlah tiang lambang Dewi Asyera yang telah engkau robohkan itu sebagai kayu api.” Kemudian Gideon memilih sepuluh orang hambanya, lalu pergi melakukan apa yang diperintahkan TUHAN. Oleh sebab dia takut terhadap keluarganya dan penduduk kota itu, dia tidak berani melakukannya pada siang hari. Dia melakukannya pada waktu malam.
HAKIM-HAKIM 6:11-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian datanglah Malaikat TUHAN dan duduk di bawah pokok oak di Ofra, kepunyaan Yoas, orang Abiezer itu, sedang Gideon, anaknya, mengirik gandum di tempat pemerasan anggur agar terselamat hasilnya daripada orang Midian. Malaikat TUHAN menjelma di hadapannya lalu berkata kepadanya, “TUHAN menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah berani.” Gideon pun menjawab, “Ya, Tuan, jika TUHAN menyertai kami, mengapakah kesemua petaka ini menimpa kami? Di manakah segala mukjizat-Nya yang diceritakan nenek moyang kami kepada kami, ketika mereka berkata, ‘Bukankah TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir?’ Tetapi sekarang TUHAN meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke dalam cengkaman orang Midian.” TUHAN berpaling kepadanya dan berfirman, “Pergilah dengan kekuatanmu ini dan selamatkanlah orang Israel daripada cengkaman orang Midian. Bukankah Aku mengutus engkau?” Namun begitu, Gideon menjawab-Nya, “Ya Tuhan, bagaimanakah dapat aku selamatkan orang Israel? Lihatlah, kaumku yang terkecil antara semua suku Manasye, malah aku pula yang paling muda antara kaum keluargaku.” Berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Pasti Aku akan menyertai engkau dan engkau akan menumpaskan kaum Midian itu.” Maka Gideon berkata lagi kepada-Nya, “Sekiranya aku mendapat kasih kurnia di mata-Mu, berikanlah tanda kepadaku, bahawa Engkau sendiri yang berfirman kepadaku. Janganlah beredar dari sini, sampai aku datang kepada-Mu membawa persembahanku dan meletakkannya di hadapan-Mu.” Lalu Dia berfirman, “Aku akan menanti sampai engkau kembali.” Gideon masuk ke dalam dan menyediakan seekor anak kambing dan roti yang tidak beragi daripada satu efa tepung. Daging diletaknya di dalam bakul dan kuahnya di dalam periuk lalu disembahkan kepada-Nya di bawah pokok oak itu. Berfirmanlah Malaikat Allah kepadanya, “Ambil dan letakkan daging serta roti yang tidak beragi itu di atas batu ini, dan curahkan kuahnya.” Maka diperbuatnya demikian. Maka Malaikat TUHAN menyentuh hujung tongkat yang ada di tangan-Nya pada daging dan roti tanpa ragi itu; lalu keluar api daripada batu itu dan menghanguskan kesemua daging serta roti itu. Kemudian hilanglah Malaikat TUHAN daripada pandangannya. Tahulah Gideon bahawa itulah Malaikat TUHAN, lalu katanya, “Aduhai ya Tuhan ALLAH! Aku baru sahaja bersemuka dengan Malaikat TUHAN.” Namun demikian, TUHAN berfirman kepadanya, “Salam sejahtera kepada engkau! Jangan takut, engkau tidak akan mati.” Lalu Gideon membina mazbah untuk TUHAN di situ dan menamainya, TUHAN itu Kesejahteraan. Mazbah itu masih ada sampai sekarang di Ofra, kota bani Abiezer. Pada malam itu juga TUHAN berfirman kepadanya, “Ambillah seekor lembu jantan kepunyaan ayahmu, yakni lembu jantan kedua yang berumur tujuh tahun, dan robohkan mazbah Baal kepunyaan ayahmu dan tebanglah tiang berhala Asyera di sisinya. Kemudian dirikanlah mazbah bagi TUHAN, Allahmu di atas kubu pertahanan ini secara teratur, dan seterusnya, ambillah lembu jantan yang kedua dan persembahkanlah korban bakaran dengan kayu tiang berhala Asyera yang telah kautebang itu.” Gideon membawa sepuluh orang hamba lelakinya dan melakukan seperti yang TUHAN firmankan kepadanya. Tetapi kerana takut kepada kaum keluarganya dan kepada orang kota itu, kerja itu dilakukannya pada malam hari.