Kemudian datanglah Malaikat TUHAN dan duduk di bawah pokok oak di Ofra, kepunyaan Yoas, orang Abiezer itu, sedang Gideon, anaknya, mengirik gandum di tempat pemerasan anggur agar terselamat hasilnya daripada orang Midian. Malaikat TUHAN menjelma di hadapannya lalu berkata kepadanya, “TUHAN menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah berani.”
Gideon pun menjawab, “Ya, Tuan, jika TUHAN menyertai kami, mengapakah kesemua petaka ini menimpa kami? Di manakah segala mukjizat-Nya yang diceritakan nenek moyang kami kepada kami, ketika mereka berkata, ‘Bukankah TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir?’ Tetapi sekarang TUHAN meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke dalam cengkaman orang Midian.”
TUHAN berpaling kepadanya dan berfirman, “Pergilah dengan kekuatanmu ini dan selamatkanlah orang Israel daripada cengkaman orang Midian. Bukankah Aku mengutus engkau?”
Namun begitu, Gideon menjawab-Nya, “Ya Tuhan, bagaimanakah dapat aku selamatkan orang Israel? Lihatlah, kaumku yang terkecil antara semua suku Manasye, malah aku pula yang paling muda antara kaum keluargaku.”
Berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Pasti Aku akan menyertai engkau dan engkau akan menumpaskan kaum Midian itu.”
Maka Gideon berkata lagi kepada-Nya, “Sekiranya aku mendapat kasih kurnia di mata-Mu, berikanlah tanda kepadaku, bahawa Engkau sendiri yang berfirman kepadaku. Janganlah beredar dari sini, sampai aku datang kepada-Mu membawa persembahanku dan meletakkannya di hadapan-Mu.”
Lalu Dia berfirman, “Aku akan menanti sampai engkau kembali.”
Gideon masuk ke dalam dan menyediakan seekor anak kambing dan roti yang tidak beragi daripada satu efa tepung. Daging diletaknya di dalam bakul dan kuahnya di dalam periuk lalu disembahkan kepada-Nya di bawah pokok oak itu. Berfirmanlah Malaikat Allah kepadanya, “Ambil dan letakkan daging serta roti yang tidak beragi itu di atas batu ini, dan curahkan kuahnya.” Maka diperbuatnya demikian. Maka Malaikat TUHAN menyentuh hujung tongkat yang ada di tangan-Nya pada daging dan roti tanpa ragi itu; lalu keluar api daripada batu itu dan menghanguskan kesemua daging serta roti itu. Kemudian hilanglah Malaikat TUHAN daripada pandangannya.
Tahulah Gideon bahawa itulah Malaikat TUHAN, lalu katanya, “Aduhai ya Tuhan ALLAH! Aku baru sahaja bersemuka dengan Malaikat TUHAN.”
Namun demikian, TUHAN berfirman kepadanya, “Salam sejahtera kepada engkau! Jangan takut, engkau tidak akan mati.” Lalu Gideon membina mazbah untuk TUHAN di situ dan menamainya, TUHAN itu Kesejahteraan. Mazbah itu masih ada sampai sekarang di Ofra, kota bani Abiezer.
Pada malam itu juga TUHAN berfirman kepadanya, “Ambillah seekor lembu jantan kepunyaan ayahmu, yakni lembu jantan kedua yang berumur tujuh tahun, dan robohkan mazbah Baal kepunyaan ayahmu dan tebanglah tiang berhala Asyera di sisinya. Kemudian dirikanlah mazbah bagi TUHAN, Allahmu di atas kubu pertahanan ini secara teratur, dan seterusnya, ambillah lembu jantan yang kedua dan persembahkanlah korban bakaran dengan kayu tiang berhala Asyera yang telah kautebang itu.” Gideon membawa sepuluh orang hamba lelakinya dan melakukan seperti yang TUHAN firmankan kepadanya. Tetapi kerana takut kepada kaum keluarganya dan kepada orang kota itu, kerja itu dilakukannya pada malam hari.