HAKIM-HAKIM 4:1-16
HAKIM-HAKIM 4:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas Ehud meninggal, umat Israel berdosa lagi terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN membiarkan mereka dikalahkan oleh Raja Yabin, raja orang Kanaan yang memerintah di kota Hazor. Panglima tenteranya ialah Sisera, yang tinggal di Haroset-Hagoyim. Raja Yabin mempunyai sembilan ratus buah kereta kuda daripada besi. Baginda menjajah umat Israel dengan kejam dan ganas selama dua puluh tahun. Kemudian umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN. Pada masa itu pemimpin Israel ialah seorang nabi perempuan yang bernama Debora, isteri Lapidot. Biasanya Debora duduk di bawah sebatang pokok kurma, di antara Rama dan Betel, di kawasan perbukitan Efraim. Di situlah umat Israel datang untuk meminta nasihatnya. Pada suatu hari, Debora menyuruh orang memanggil Barak anak Abinoam dari kota Kedes di wilayah Naftali. Debora berkata kepadanya, “TUHAN, Allah Israel telah memberikan perintah ini kepadamu, ‘Kerahlah sepuluh ribu orang daripada suku Naftali dan suku Zebulon, dan pimpinlah mereka ke Gunung Tabor. Aku akan menyebabkan Sisera, panglima tentera Raja Yabin, berperang dengan engkau di Sungai Kison. Walaupun dia mempunyai kereta kuda dan tentera, Aku akan memberi engkau kemenangan.’ ” Kemudian Barak menjawab, “Saya akan pergi jika puan pergi bersama-sama saya. Tetapi jika puan tidak pergi, saya pun tidak mahu pergi.” Debora berkata, “Baiklah, saya akan pergi bersama-sama kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat kehormatan daripada kemenangan itu, kerana TUHAN akan menyerahkan Sisera kepada seorang perempuan.” Kemudian Debora berangkat ke Kedes bersama-sama Barak. Barak menyuruh suku Zebulon dan suku Naftali supaya pergi ke Kedes. Orang yang mengikuti Barak dan Debora ketika itu sebanyak sepuluh ribu orang. Sementara itu, Heber, orang Keni telah memasang khemahnya dekat Kedes, berhampiran dengan pokok oak di Zaanaim. Heber ialah keturunan Hobab, ipar Musa, tetapi Heber telah memisahkan diri daripada kaumnya. Apabila Sisera mendengar bahawa Barak anak Abinoam telah pergi ke Gunung Tabor, dia mengumpulkan sembilan ratus buah kereta kudanya yang dibuat daripada besi, bersama dengan seluruh tenteranya, lalu dia membawa mereka dari Haroset-Hagoyim ke Sungai Kison. Kemudian Debora berkata kepada Barak, “Majulah! TUHAN menyertai kamu! Pada hari ini TUHAN telah memberi kamu kemenangan atas Sisera.” Oleh itu Barak turun dari Gunung Tabor bersama dengan sepuluh ribu orangnya. Ketika Barak dan tenteranya menyerang Sisera, TUHAN membingungkan Sisera bersama dengan seluruh tentera dan kereta kudanya. Sisera turun dari kereta kudanya, lalu melarikan diri. Barak mengejar kereta kuda dan tentera musuh sampai ke Haroset-Hagoyim. Seluruh angkatan tentera Sisera dibunuh; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.
HAKIM-HAKIM 4:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Susulan kematian Ehud, orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN. Lalu TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan Yabin, raja bani Kanaan, yang bertakhta di Hazor. Panglima tenteranya ialah Sisera yang diam di Haroset-Hagoyim. Orang Israel berseru meminta pertolongan TUHAN kerana Sisera mempunyai sembilan ratus buah rata besi dan menindas orang Israel dengan keras selama dua puluh tahun. Ketika itu, Debora, seorang nabiah dan isteri kepada Lapidot menjadi hakim kepada Israel. Dia biasanya duduk di bawah pokok kurma Debora antara Rama dengan Betel di pergunungan Efraim, dan orang Israel mendatanginya demi mendapatkan penghakimannya. Atas panggilannya, menghadaplah Barak anak Abinoam dari Kedesh di daerah Naftali. Berkatalah Debora kepadanya, “Bukankah TUHAN, Allah Israel, memerintahkan demikian, ‘Majulah, bergeraklah menuju Gunung Tabor dengan membawa bersama-samamu sepuluh ribu orang Naftali dan bani Zebulon. Aku akan menggerakkan Sisera, panglima tentera Yabin, dengan segala rata dan bala tenteranya ke arah Sungai Kison dan Aku akan menyerahkan dia ke dalam tanganmu.’ ” Maka Barak menjawab kepada Debora, “Jika kamu pergi bersama-sama, aku akan pergi, tetapi jika kamu tidak bersama-sama, aku tidak akan pergi.” Jawab Debora, “Baik, aku turut! Namun begitu, dalam perjalanan ini kelak, penghormatan bukan milikmu tetapi bagi perempuan yang ke dalam tangannya TUHAN akan menyerahkan Sisera.” Maka Debora bangun berdiri dan pergi bersama-sama Barak ke Kedesh. Maka Barak diikuti sepuluh ribu orang daripada bani Zebulon dan bani Naftali yang dikerahnya ke Kedesh, dan Debora juga mara bersama-sama Barak. Adapun Heber, yakni bani Keni daripada keturunan Hobab, ipar Musa itu menyisihkan dirinya daripada kaumnya lalu mendirikan khemahnya sampai sejauh pokok oak di Zaananim berdekatan dengan Kedesh. Maka Sisera yang diberitahu bahawa Barak anak Abinoam telah mara naik ke Gunung Tabor, mengerahkan kesemua sembilan ratus buah rata besi serta seluruh rakyat yang bersama-samanya mara dari Haroset-Hagoyim ke Sungai Kison. Lalu berkatalah Debora kepada Barak, “Bersiaplah kerana inilah harinya TUHAN menyerahkan Sisera ke dalam tanganmu. Bukankah TUHAN telah mara di depan engkau?” Lalu turunlah Barak bersama-sama sepuluh ribu orang dari Gunung Tabor, dan di depan Barak TUHAN menumpaskan Sisera serta segala ratanya dan juga seluruh bala tenteranya dengan mata pedang sehingga Sisera meninggalkan ratanya lalu melarikan diri dengan berjalan kaki. Tetapi Barak mengejar rata-rata dan bala tentera itu sampai Haroset-Hagoyim lalu menghapuskan seluruh tentera Sisera dan tidak membiarkan seorang pun hidup.