Hakim-Hakim 4:1-16

Hakim-Hakim 4:1-16 AVB

Susulan kematian Ehud, orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN. Lalu TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan Yabin, raja bani Kanaan, yang bertakhta di Hazor. Panglima tenteranya ialah Sisera yang diam di Haroset-Hagoyim. Orang Israel berseru meminta pertolongan TUHAN kerana Sisera mempunyai sembilan ratus buah rata besi dan menindas orang Israel dengan keras selama dua puluh tahun. Ketika itu, Debora, seorang nabiah dan isteri kepada Lapidot menjadi hakim kepada Israel. Dia biasanya duduk di bawah pokok kurma Debora antara Rama dengan Betel di pergunungan Efraim, dan orang Israel mendatanginya demi mendapatkan penghakimannya. Atas panggilannya, menghadaplah Barak anak Abinoam dari Kedesh di daerah Naftali. Berkatalah Debora kepadanya, “Bukankah TUHAN, Allah Israel, memerintahkan demikian, ‘Majulah, bergeraklah menuju Gunung Tabor dengan membawa bersama-samamu sepuluh ribu orang Naftali dan bani Zebulon. Aku akan menggerakkan Sisera, panglima tentera Yabin, dengan segala rata dan bala tenteranya ke arah Sungai Kison dan Aku akan menyerahkan dia ke dalam tanganmu.’ ” Maka Barak menjawab kepada Debora, “Jika kamu pergi bersama-sama, aku akan pergi, tetapi jika kamu tidak bersama-sama, aku tidak akan pergi.” Jawab Debora, “Baik, aku turut! Namun begitu, dalam perjalanan ini kelak, penghormatan bukan milikmu tetapi bagi perempuan yang ke dalam tangannya TUHAN akan menyerahkan Sisera.” Maka Debora bangun berdiri dan pergi bersama-sama Barak ke Kedesh. Maka Barak diikuti sepuluh ribu orang daripada bani Zebulon dan bani Naftali yang dikerahnya ke Kedesh, dan Debora juga mara bersama-sama Barak. Adapun Heber, yakni bani Keni daripada keturunan Hobab, ipar Musa itu menyisihkan dirinya daripada kaumnya lalu mendirikan khemahnya sampai sejauh pokok oak di Zaananim berdekatan dengan Kedesh. Maka Sisera yang diberitahu bahawa Barak anak Abinoam telah mara naik ke Gunung Tabor, mengerahkan kesemua sembilan ratus buah rata besi serta seluruh rakyat yang bersama-samanya mara dari Haroset-Hagoyim ke Sungai Kison. Lalu berkatalah Debora kepada Barak, “Bersiaplah kerana inilah harinya TUHAN menyerahkan Sisera ke dalam tanganmu. Bukankah TUHAN telah mara di depan engkau?” Lalu turunlah Barak bersama-sama sepuluh ribu orang dari Gunung Tabor, dan di depan Barak TUHAN menumpaskan Sisera serta segala ratanya dan juga seluruh bala tenteranya dengan mata pedang sehingga Sisera meninggalkan ratanya lalu melarikan diri dengan berjalan kaki. Tetapi Barak mengejar rata-rata dan bala tentera itu sampai Haroset-Hagoyim lalu menghapuskan seluruh tentera Sisera dan tidak membiarkan seorang pun hidup.