YESAYA 53:4-7,10-12
YESAYA 53:4-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya. Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya. Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya. Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri. Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita. Dia diperlakukan dengan kasar, tetapi dia menanggungnya dengan sabar; Dia tidak membuka mulutnya seperti anak domba yang dibawa ke pembantaian, atau induk domba yang dicukur bulunya.
YESAYA 53:10-12 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Penderitaannya memang menurut kehendak-Ku; dia menyerahkan nyawanya sebagai korban bagi pengampunan dosa. Oleh itu dia akan panjang umur; dia akan melihat keturunannya, dan melalui dia maksud-Ku akan terlaksana. Selepas penderitaan, dia akan bersukacita semula; dia akan tahu bahawa penderitaannya tidak sia-sia. Hamba-Ku yang setia dan yang Aku perkenankan akan menanggung hukuman banyak orang, dan kerana dia, Aku akan mengampuni mereka. Oleh itu Aku akan memberi dia kedudukan yang mulia, kedudukan di kalangan orang besar dan kenamaan. Dia rela mengorbankan nyawanya, dan dia dianggap sebagai orang jahat. Dia menanggung dosa banyak orang, dan berdoa agar mereka diampuni.”
YESAYA 53:4-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesungguhnya, dialah yang menanggung penyakit kita dan memikul derita kita, padahal kita menganggap dia kena tulah, dihukum Allah dan ditindas. Tetapi dia terluka oleh sebab segala pelanggaran kita, dia dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita. Pengajaran yang mendatangkan kesejahteraan bagi kita ditimpakan kepadanya dan oleh bilur-bilurnya kita sembuh. Kita semua tersesat seperti domba, setiap orang menyimpang menurut jalannya sendiri, tetapi TUHAN telah menimpakan kepadanya kesalahan kita semua. Dia dianiaya dan ditindas, tetapi dia tidak membuka mulutnya. Seperti anak domba yang dibawa untuk disembelih, seperti domba yang senyap di hadapan orang yang menggunting bulunya, maka dia tidak membuka mulutnya.
Yesaya 53:10-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Namun begitu, TUHAN berkehendak menghancurkan dan menyakiti dia. Jika dia menjadikan jiwanya korban penebus kesalahan, maka dia akan melihat keturunannya dan umurnya lanjut. Kehendak TUHAN akan berhasil dalam tangannya. Sesudah kesusahan jiwanya dia akan melihat cahaya kehidupan dan berasa puas. Hamba-Ku yang benar itu akan membenarkan ramai orang dengan pengetahuannya. Dia akan memikul dosa-dosa mereka. Oleh sebab itu Aku akan menentukan bahagiannya bersama-sama orang besar, dan dia akan berbahagi jarahan bersama-sama orang kuat, kerana dia telah mencurahkan nyawanya sampai mati dan diperhitungkan bersama-sama orang derhaka, padahal dia menanggung dosa orang ramai dan berdoa bagi para penderhaka.