YESAYA 53:3-11
YESAYA 53:3-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan. Tidak seorang pun hendak memandang dia; kita pun tidak mempedulikan dia. Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya. Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya. Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya. Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri. Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita. Dia diperlakukan dengan kasar, tetapi dia menanggungnya dengan sabar; Dia tidak membuka mulutnya seperti anak domba yang dibawa ke pembantaian, atau induk domba yang dicukur bulunya. Dia ditahan dan dihakimi, lalu digiring untuk dihukum mati. Tidak seorang pun mempedulikannya; dia dihukum mati kerana dosa bangsa kita. Dia dikuburkan bersama-sama orang jahat, dia dikebumikan bersama-sama orang kaya, walaupun dia tidak pernah melakukan jenayah dan tidak pernah berdusta.” TUHAN berfirman, “Penderitaannya memang menurut kehendak-Ku; dia menyerahkan nyawanya sebagai korban bagi pengampunan dosa. Oleh itu dia akan panjang umur; dia akan melihat keturunannya, dan melalui dia maksud-Ku akan terlaksana. Selepas penderitaan, dia akan bersukacita semula; dia akan tahu bahawa penderitaannya tidak sia-sia. Hamba-Ku yang setia dan yang Aku perkenankan akan menanggung hukuman banyak orang, dan kerana dia, Aku akan mengampuni mereka.
YESAYA 53:3-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia dihina dan ditolak manusia, seorang yang penuh derita dan terbiasa dengan kesakitan. Dia dihina sehingga orang menutup muka terhadap dia, dan kita pun menganggapnya tidak penting. Sesungguhnya, dialah yang menanggung penyakit kita dan memikul derita kita, padahal kita menganggap dia kena tulah, dihukum Allah dan ditindas. Tetapi dia terluka oleh sebab segala pelanggaran kita, dia dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita. Pengajaran yang mendatangkan kesejahteraan bagi kita ditimpakan kepadanya dan oleh bilur-bilurnya kita sembuh. Kita semua tersesat seperti domba, setiap orang menyimpang menurut jalannya sendiri, tetapi TUHAN telah menimpakan kepadanya kesalahan kita semua. Dia dianiaya dan ditindas, tetapi dia tidak membuka mulutnya. Seperti anak domba yang dibawa untuk disembelih, seperti domba yang senyap di hadapan orang yang menggunting bulunya, maka dia tidak membuka mulutnya. Daripada tahanan dan daripada pengadilan dia diambil. Siapa akan mengisahkan keturunannya? Dia dilenyapkan daripada negeri orang hidup, dan kerana pelanggaran umat-Ku dia kena tulah. Kuburnya ditentukan antara orang fasiq, dan dalam kematiannya dia bersama kalangan kaya, sungguhpun dia tidak pernah melakukan kekerasan dan tidak ada tipu daya di dalam mulutnya. Namun begitu, TUHAN berkehendak menghancurkan dan menyakiti dia. Jika dia menjadikan jiwanya korban penebus kesalahan, maka dia akan melihat keturunannya dan umurnya lanjut. Kehendak TUHAN akan berhasil dalam tangannya. Sesudah kesusahan jiwanya dia akan melihat cahaya kehidupan dan berasa puas. Hamba-Ku yang benar itu akan membenarkan ramai orang dengan pengetahuannya. Dia akan memikul dosa-dosa mereka.