YESAYA 53:2-6
YESAYA 53:2-6 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN menghendaki hamba-Nya membesar seperti tunas yang tumbuh di tanah gersang. Rupanya tidak elok ataupun tampan, sehingga kita tidak tertarik kepadanya. Tiada apa-apa padanya yang menarik hati, yang membuat kita mengingini dia. Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan. Tidak seorang pun hendak memandang dia; kita pun tidak mempedulikan dia. Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya. Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya. Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya. Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri. Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita.
YESAYA 53:2-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Seperti tunas muda dia tumbuh di hadapan-Nya, seperti akar dari gurun. Tidak ada keelokan dan tidak ada semarak padanya sehingga kita memandang dia, tidak ada tampang sehingga kita menginginkan dia. Dia dihina dan ditolak manusia, seorang yang penuh derita dan terbiasa dengan kesakitan. Dia dihina sehingga orang menutup muka terhadap dia, dan kita pun menganggapnya tidak penting. Sesungguhnya, dialah yang menanggung penyakit kita dan memikul derita kita, padahal kita menganggap dia kena tulah, dihukum Allah dan ditindas. Tetapi dia terluka oleh sebab segala pelanggaran kita, dia dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita. Pengajaran yang mendatangkan kesejahteraan bagi kita ditimpakan kepadanya dan oleh bilur-bilurnya kita sembuh. Kita semua tersesat seperti domba, setiap orang menyimpang menurut jalannya sendiri, tetapi TUHAN telah menimpakan kepadanya kesalahan kita semua.