YESAYA 52:1-15

YESAYA 52:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Bangunlah, hai Yerusalem, bangunlah! Kuatkanlah hatimu! Kenakanlah pakaian kebesaranmu! Hai Yerusalem, kota yang suci, orang najis tidak akan memasuki pintu gerbangmu lagi. Bebaskanlah dirimu, hai Yerusalem! Bangkitlah dan kebaskanlah debu yang melekat padamu. Putuskanlah rantai yang mengikat leher kamu, hai penduduk Sion yang tertawan! TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, “Ketika kamu menjadi hamba, kamu tidak dibeli dengan wang. Demikian juga ketika kamu dibebaskan, kamu tidak akan ditebus dengan wang. Semasa kamu tinggal di Mesir sebagai orang bangsa asing, kamu pergi ke sana dengan kemahuan kamu sendiri. Lalu Asyur menawan kamu tanpa alasan. Sekarang di Babilonia hal yang sama telah berlaku: kamu ditawan tanpa alasan. Mereka yang menawan kamu sentiasa memegahkan diri dan menghina Aku. Pada masa yang akan datang, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah, dan bahawa Aku telah berfirman kepada kamu.” Betapa baiknya melihat kedatangan utusan, dia datang melintasi pergunungan, dan membawa berita baik, berita kedamaian! Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion, “Allahmu memerintah!” Para pengawal kota berteriak-teriak, mereka bersorak bersama-sama kerana sukacita. Dengan mata sendiri mereka melihat TUHAN kembali ke Sion. Bersorak-soraklah, hai runtuhan Yerusalem! TUHAN akan menyelamatkan kota-Nya serta menghiburkan hati umat-Nya. TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya yang suci di hadapan semua bangsa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya, dan seluruh bumi akan menyaksikannya. Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia, hai kamu yang membawa perkakas Rumah TUHAN! Janganlah sentuh apa-apa yang najis, sucikanlah diri kamu dan berangkatlah. Kamu tidak akan pergi tergesa-gesa seperti orang yang melarikan diri. TUHAN akan memimpin kamu, Allah Israel akan melindungi kamu dari setiap penjuru. TUHAN berfirman, “Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya; dia akan disanjung tinggi. Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia, kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia. Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia, raja-raja terpegun kerana kagum. Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara yang belum pernah diketahui mereka.”

YESAYA 52:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Bangunlah, bangunlah! Kenakanlah kekuatanmu, wahai Sion! Kenakanlah pakaian kehormatanmu wahai Yerusalem, kota yang suci, kerana orang yang tidak bersunat dan yang najis tidak akan masuk lagi ke dalammu. Kebaskanlah debu daripadamu, bangkitlah, duduklah, wahai Yerusalem! Lepaskanlah tali pengikat dari lehermu, wahai puteri Sion yang tertawan! Beginilah firman TUHAN, “Kamu telah dijual tanpa harga, maka kamu pun akan ditebus tanpa wang.” Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Pada mulanya umat-Ku pergi ke Mesir untuk tinggal di sana sebagai pendatang. Kemudian orang Asyur menindas mereka dengan tidak semena-mena. Sekarang, apakah lagi urusan-Ku di sini?” Demikianlah firman TUHAN. “Umat-Ku diambil tanpa harga. Orang yang menguasainya meraung-raung,” demikianlah firman TUHAN, “dan nama-Ku terus dinista sepanjang hari. Oleh sebab itu umat-Ku akan mengenal nama-Ku, dan pada hari itu mereka akan mengetahui bahawa Akulah yang berfirman, ya Aku.” Alangkah indahnya di atas gunung-gunung melihat kaki mereka yang membawa berita baik, yang mengkhabarkan kedamaian, yang membawa khabar kesukaan, yang mengkhabarkan penyelamatan, yang berkata kepada Sion, “Allahmu bertakhta!” Dengarlah, para pengintipmu menyaringkan suara, mereka bersorak-sorai bersama-sama, kerana dengan mata kepala sendiri mereka melihat bagaimana TUHAN memulihkan Sion. Bergembiralah, bersorak-sorailah bersama-sama, wahai reruntuhan Yerusalem, kerana TUHAN telah menghiburkan umat-Nya. Dia telah menebus Yerusalem. TUHAN telah memperlihatkan kuasa-Nya yang suci di hadapan mata segala bangsa. Segala hujung bumi akan melihat penyelamatan daripada Allah kita. Menyingkirlah, menyingkirlah, keluarlah dari sana! Jangan sentuh yang najis! Keluarlah dari tengah-tengahnya, sucikanlah dirimu, wahai kamu yang mengangkut kelengkapan Bait TUHAN. Sungguh, kamu tidak akan keluar dengan terburu-buru dan tidak akan pergi sebagai pelarian, kerana TUHAN akan maju di depanmu, Allah Israel akan menjadi penutup barisanmu. Sesungguhnya, hamba-Ku akan bertindak bijaksana. Dia akan ditinggikan, dijunjung, dan sangat dimuliakan. Sebagaimana ramai orang tercengang melihat dia — begitu rosak rupanya sehingga tidak seperti manusia lagi dan susuknya tidak seperti anak manusia lagi — demikianlah dia akan mengejutkan banyak bangsa. Raja-raja akan menutup mulut melihat dia, kerana mereka akan melihat apa yang belum pernah diceritakan kepada mereka dan memahami apa yang belum pernah didengar mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami