IBRANI 9:6-14

IBRANI 9:6-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Demikianlah semua itu diatur. Setiap hari imam-imam masuk ke dalam bahagian depan khemah itu untuk menjalankan tugas mereka. Hanya Imam Agung yang masuk ke bahagian paling dalam daripada khemah itu, dan hal itupun dilakukannya hanya sekali setahun. Dia membawa darah yang dipersembahkannya kepada Allah bagi dirinya sendiri dan bagi dosa yang dilakukan oleh umat dengan tidak disedari. Dengan aturan tersebut, Roh Allah mengajar kita dengan jelas, bahawa selama bahagian depan khemah itu masih berdiri, jalan masuk ke dalam Bilik Maha Suci itu masih belum terbuka. Hal ini melambangkan zaman sekarang. Maknanya, semua persembahan dan korban binatang yang dipersembahkan kepada Allah tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang membawa persembahan. Semua itu hanya berkenaan dengan makanan, minuman, dan berbagai-bagai upacara penyucian. Semua itu hanya peraturan lahir yang berlaku sehingga masanya Allah mengadakan pembaharuan. Tetapi Kristus sudah datang sebagai Imam Agung daripada perkara-perkara baik, yang sudah ada di sini. Khemah tempat Dia menjalankan tugas sebagai Imam Agung, adalah lebih penting dan lebih sempurna. Khemah itu tidak dibuat oleh manusia, ertinya bukan sebahagian daripada dunia yang diciptakan ini. Ketika Kristus memasuki Bilik Maha Suci sekali sahaja untuk selama-lamanya, Dia tidak membawa darah kambing dan darah lembu jantan untuk dipersembahkan. Tetapi Dia membawa darah-Nya sendiri, dan dengan demikian Dia membebaskan kita selama-lamanya. Darah kambing dan darah lembu jantan, serta abu daripada korban anak lembu, dipercikkan ke atas orang yang najis menurut peraturan agama. Perbuatan itu menyucikan mereka daripada semua yang menajiskan mereka. Jika orang dapat disucikan dengan cara itu, darah Kristus lebih berkuasa pula! Melalui Roh yang kekal, Kristus mempersembahkan diri-Nya sendiri kepada Allah sebagai korban yang sempurna. Darah-Nya akan menyucikan hati nurani kita daripada upacara agama yang sia-sia, supaya kita boleh mengabdikan diri kepada Allah yang hidup.

IBRANI 9:6-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭbarmula adapun tŭtkala sagala pŭrkara itu ditŭntukan dŭmkian itu, maka bahrulah imam imam masok sŭntiasa kadalam khemah yang pŭrtama itu, akan mŭmbuatkan sŭmbahyang pada Allah. Akan tŭtapi dalam yang kadua itu mŭlainkan imam bŭsar sahja masok kadalamnya sa’tahun skali, dŭngan mŭmbawa darah yang dipŭrsŭmbahkannya kŭrna dirinya sŭndiri, dan kŭrna kŭsalahan kaum itu. Maka dŭmkianlah prinya Roh Alkudus tŭlah mŭnandai, adapun jalan kadalam tŭmpat yang suchi deripada skalian itu, bŭlomlah lagi dinyatakan slagi khemah tŭmpat sŭmbahyang yang pŭrtama itu ada tŭrdiri. Maka itulah tŭlah mŭnjadi suatu tanda pada dewasa itu, maka dalamnya itu dipŭrsŭmbahkan kaduanya pŭmbrian pŭmbrian dan korban korban, yang tiada dapat mŭnjadikan orang yang mŭngŭrjakan itu samporna, iya itu deri hal angan angan hatinya itu; Yang bŭrgantong sahja dŭngan makanan dan minuman, dan bŭrbagie bagie basoh, dan rukun rukun deri hal tuboh, yang tŭlah dilŭtakkan kapada marika itu sampie kapada zaman akan diubahkan. Tŭtapi ulih sŭbab Almasih tŭlah datang iya itu akan mŭnjadi imam yang bŭsar atas pŭrkara pŭrkara yang baik yang akan datang kŭlak, dŭngan mŭnŭrusi suatu khemah tŭmpat sŭmbahyang yang tŭrlebih bŭsar, dan tŭrlebih samporna, iya itu yang tiada dipŭrbuat dŭngan tangan manusia, dan bukannya bangunan ini; Atau bukannya pula dŭngan darah kambing atau anak lŭmbu, mŭlainkan dŭngan darahnya sŭndiri iya tŭlah masok skali gus pada tŭmpat yang suchi itu, sŭbab sudah iya bŭrulih tŭbusan yang kŭkal bagie kami. Kŭrna jikalau kiranya darah lŭmbu jantan atau kambing, dan habu lŭmbu bŭtina yang dipŭrchekkan kapada orang nŭjis itu, dapat mŭnyuchikan prihal mŭmpŭrsihkan tuboh itu, Maka brapakah lagi lebihnya pula darah Almasih, yang tŭlah mŭmpŭrsŭmbahkan dirinya kapada Allah dŭngan bŭrkat Roh yang kŭkal dŭngan tiada kachŭlaan, akan mŭnyuchikan angan angan hati kamu deripada pŭkŭrjaan yang mŭndatangkan kabinasaan, supaya bŭribadat kapada Allah yang hidop itu?

IBRANI 9:6-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah segala ini disediakan, imam-imam sentiasa masuk ke bahagian pertama khemah itu dan menyempurnakan ibadat. Tetapi ke bahagian kedua, imam besar masuk seorang diri setahun sekali sahaja, tidak boleh tidak membawa darah, yang dipersembahkannya untuk dosa dirinya dan untuk dosa orang lain yang dilakukan akibat kejahilan. Roh Kudus membayangkan bahawa jalan masuk ke Tempat Yang Maha Suci tidak dinyatakan selagi bahagian pertama khemah masih tetap berdiri. Ini melambangkan zaman ini, ketika persembahan dan korban dipersembahkan tetapi tidak menjadikan orang yang menjalankan ibadat itu sempurna dari segi hati nurani. Semua ini hanya soal makanan dan minuman, pelbagai upacara pembasuhan iaitu rukun-rukun lahiriah yang dikenakan hingga sampai masa pembaharuan. Tetapi Kristus datang sebagai Imam Besar bagi perkara-perkara baik yang akan datang, dengan khemah yang lebih besar dan lebih sempurna, yang bukan buatan manusia, bukan sebahagian daripada kejadian alam. Bukan dengan darah kambing atau anak lembu, tetapi dengan darah-Nya sendiri, Dia masuk ke dalam Tempat Yang Maha Suci, sekali untuk selama-lamanya, kerana Dia mendapatkan penebusan yang kekal. Jika darah lembu jantan dan kambing serta abu lembu betina muda yang direnjiskan ke atas orang bernajis dapat menyucikan jasadnya secara lahiriah, lebih-lebih lagilah darah Kristus, yang melalui Roh kekal mempersembahkan diri-Nya tanpa cela kepada Allah, menyucikan hati nuranimu daripada perbuatan yang mati supaya kamu dapat beribadat kepada Allah yang hidup.