IBRANI 13:9-25

IBRANI 13:9-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Janganlah biarkan segala macam ajaran ganjil menyesatkan kamu. Hati kita harus dikuatkan oleh rahmat Allah, bukan oleh ketaatan kepada peraturan tentang makanan. Orang yang mentaati peraturan itu tidak mendapat faedah daripadanya. Imam-imam yang bertugas di Khemah Tuhan tidak berhak untuk mendapat bahagian daripada korban di atas mazbah kita. Imam Agung Yahudi membawa darah binatang ke dalam Bilik Maha Suci untuk mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa, tetapi bangkai binatang itu dibakar di luar perkhemahan. Itulah sebabnya Yesus juga mati di luar pintu gerbang kota, untuk menyucikan umat-Nya daripada dosa dengan darah-Nya sendiri. Oleh itu, marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan tanggung hinaan bersama-sama Dia. Hal itu demikian, kerana di bumi tidak ada kota yang kekal untuk kita; kita mencari kota yang akan datang. Oleh itu, marilah kita sentiasa persembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Allah melalui Yesus. Kata-kata pujian itu persembahan kita, apabila kita mengaku Dia sebagai Tuhan kita. Jangan lupa berbuat baik dan saling menolong, kerana perkara itu seperti korban yang menyenangkan hati Allah. Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu, kerana mereka harus bertanggungjawab kepada Allah bagi pelayanan mereka. Jika kamu taat kepada mereka, mereka dapat bekerja dengan sukacita. Jika tidak, mereka akan bekerja dengan dukacita, dan hal ini tidak berfaedah bagi kamu. Teruslah berdoa untuk kami. Kami yakin bahawa hati nurani kami murni, kerana kami selalu ingin melakukan perkara yang benar. Khasnya aku memohon supaya kamu berdoa agar Allah segera menghantar aku kembali kepada kamu. Allah sudah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian. Oleh sebab kematian-Nya itu, Dia sekarang menjadi Gembala Agung kita, domba-domba-Nya. Kematian-Nya juga mengesahkan perjanjian kekal yang dibuat oleh Allah dengan kita. Semoga Allah sumber kesejahteraan itu melengkapi kamu dengan segala perkara baik yang kamu perlukan untuk melakukan kehendak-Nya. Semoga dengan perantaraan Yesus Kristus, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya dalam hidup kita. Hendaklah Kristus dimuliakan selama-lamanya! Amin. Aku memohon supaya kamu mendengarkan nasihat-nasihat yang menggalakkan dengan sabar, kerana suratku ini tidak terlalu panjang. Aku hendak memberitahu kamu bahawa saudara kita Timotius sudah dibebaskan dari penjara. Jika dia segera ke sini, aku akan melawat kamu bersama-sama dia. Sampaikanlah salam kami kepada semua pemimpin kamu dan semua umat Allah. Terimalah salam daripada saudara-saudara di Italia. Semoga Allah memberkati kamu semua.

IBRANI 13:9-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka janganlah kiranya kamu dianyut anyutkan dŭngan pŭngajaran yang bŭrbagie bagie dan yang dagang, kŭrna suatu pŭrkara yang baik adanya, kalu hati itu ditŭtapkan dŭngan anugrah, bukannya dŭngan makanan makanan, yang tiada mŭmbri fiedah kapada orang yang biasa dalam hal itu. Maka adalah bagie kami suatu tŭmpat pŭrsŭmbahan, tiadalah patut bagie orang orang makan akan dia yang bŭrbuat ibadat dalam khemah tŭmpat sŭmbahyang itu. Kŭrna tuboh sagala binatang yang ampunya darah, dibawa kadalam tŭmpat yang suchi ulih iman bŭsar itu sŭbab dosa, maka iya itu dibakar diluar tŭmpat tantara. Maka sŭbab itulah Isa pun, supaya iya bulih mŭnyuchikan kaum itu dŭngan darahnya sŭndiri, maka iya tŭlah mŭnanggong sangsara diluar pintu gŭrbang. Maka biarlah kami kluar pŭrgi kapadanya, diluar tŭmpat tantara, mŭnanggong kachelaanuya. Maka disini tiadalah bagie kami nŭgri yang tŭtap, mŭlainkan kami mŭncharilah sa’buah yang datang. Maka sŭbab itu dŭngan bŭrkatnya, biarlah kami mŭmpŭrsŭmbahkan korban pujian bagie Allah itu sŭntiasa, iya itulah buah mulot kami mŭnguchap shukor akan namanya, Tŭtapi janganlah kamu lupa akan bŭrbuat baik, sŭrta mŭnyampiekan kŭbajikan, kŭrna korban yang dŭmkian itulah yang direlai Allah sangat. Handaklah kamu mŭnurot akan orang orang yang mŭmrentah kamu, dan tundoklah dirimu kapadanya; kŭrna marika itu mŭnjagai akan jiwamu spŭrti orang yang akan mŭmbri kira kira itu, supaya marika itu bulih bŭrbuat itu dŭngan sukachita, bukannya dŭngan dukachita; kŭrna iya itu tiada mŭndatangkan fiedah bagie kamu. Mintalah doa akan kami, kŭrna kami harap, bahwa adalah kiranya pada kami angan angan hati yang baik, maka dalam sagala pŭrkara, kami bŭrkahandak hidop dŭngan tulos. Tŭtapi kupohonkan kapadamu, tŭrlebih baik buatlah dŭmkian, supaya dŭngan sŭgranya aku bulih dikumbalikan padamu. Maka handaklah kiranya Allah pohon slamat itu, yang tŭlah mŭmbangkitkan Isa Tuhan kami deripada matinya, iya itu gombala bŭsar brgie sagala domba dŭngan bŭrkat darah waad yang kŭkal, Mŭnjadikan kamu samporna dalam sagala pŭrkara yang baik, akan bŭrbuat kahandaknya, sŭrta bŭkŭrja dalammu pŭrkara yang mŭnyukakan sangat pada sŭblah fihaknya dŭngan bŭrkat Isa Almasih; maka kamulianlah kiranya bagienya slama lamanya: Amin. Tŭtapi kupohonkanlah kiranya kapadamu saudara saudaraku, maka junjonglah akan nasihatku ini, kŭrna kukirimkan surat ini kapadamu dŭngan rengkasnya. Kŭtahuilah ulihmu, bahwa saudara kami Timothius tŭlah sudah tŭrlŭpas pŭrgi, maka apabila iya datang kŭlak dŭngan sŭgranya, maka bulihlah aku pun datang bŭrsama sama bŭrjumpa kamu. Maka sŭlamku kapada sagala orang yang mŭmrentah kamu, dan kapada sagala orang salih. Maka orang orang yang diItali ampunya sŭlam pada kamu. Biarlah anugrah kiranya atas kamu skalian: Amin. ¶ Tŭrmaktob surat ini deri pada Timothius dinŭgri Itali, kapada orang Ibrani.

IBRANI 13:9-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jangan terikut-ikut pelbagai ajaran yang berlainan daripada ajaran yang benar. Tetapkan hati dengan kasih kurnia Allah, bukan dengan makanan yang tidak menguntungkan mereka yang asyik dengannya. Kita mempunyai mazbah di mana orang yang menjalankan ibadat khemah tidak berhak makan sesuatu daripadanya. Bangkai semua binatang, yang darahnya dibawa masuk ke tempat suci oleh Imam Besar untuk menebus dosa, dibakar di luar perkhemahan. Oleh itu, Yesus juga, untuk menyucikan umat manusia dengan darah-Nya sendiri, menderita di luar pintu gerbang. Dengan demikian marilah kita pergi mendapatkan-Nya, di luar perkhemahan, dan menanggung celaan yang dideritai-Nya. Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang. Oleh itu, melalui-Nya marilah kita terus-menerus mempersembahkan korban iaitu pujian kepada Allah, sebagai buah-buahan hasil bibir kita, sambil bersyukur kepada nama-Nya. Tetapi jangan lupa berbuat baik dan berkongsi, kerana korban demikianlah yang diredai Allah. Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu. Doakanlah kami; kerana kami yakin hati nurani kami bersih, ingin hidup bermaruah dalam segala hal. Tetapi aku terutamanya mendesakmu berbuat demikian, supaya aku dikembalikan kepadamu lebih awal. Semoga Allah kesejahteraan yang telah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian, Gembala domba yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal, melengkapkan kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin. Aku merayu kepadamu, saudara-saudara, dengarlah nasihatku ini dengan sabar, kerana aku menulis ringkas sahaja kepadamu. Ketahuilah bahawa saudara kita Timotius telah dibebaskan. Aku akan menemui kamu bersamanya jika dia datang segera. Sampaikan salamku kepada semua ketuamu dan semua umat yang salih. Saudara-saudara dari Itali berkirim salam kepadamu. Semoga kasih kurnia menyertai kamu semua. Amin.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami