IBRANI 12:1-22
IBRANI 12:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Sedangkan bagi kita, di sekeliling kita ada banyak saksi. Oleh itu, marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun. Hendaklah pandangan kita tertumpu kepada Yesus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir. Yesus tidak putus asa, walaupun Dia harus mati pada kayu salib. Sebaliknya, kerana kegembiraan yang menantikan-Nya, Yesus tidak peduli bahawa mati pada kayu salib adalah suatu hal yang memalukan. Sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. Fikirkanlah betapa beratnya penderitaan yang dialami oleh Yesus, kerana orang berdosa sangat membenci Dia! Oleh itu janganlah berkecil hati dan putus asa. Dalam perjuangan kamu melawan dosa, kamu belum pernah melawan sehingga dibunuh. Janganlah lupa akan nasihat Allah, yang diberikan kepada kamu sebagai anak-anak-Nya: “Hai anak-Ku, perhatikan baik-baik apabila Tuhan menunjukkan kesalahanmu, dan janganlah kecil hati apabila Dia menghukum kamu. Tuhan menunjukkan kesalahan setiap orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum setiap orang yang diakui-Nya sebagai anak.” Hendaklah penderitaan yang kamu tanggung dianggap sebagai hukuman daripada seorang bapa. Penderitaan kamu membuktikan bahawa Allah memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya. Pernahkah seorang anak tidak dihukum oleh bapanya? Jika kamu tidak dihukum seperti semua anak-Nya yang lain, hal ini bererti kamu bukan anak sah, tetapi anak haram. Di dunia ini kita mempunyai bapa. Mereka menghukum kita, dan kita menghormati mereka. Oleh itu, kita harus menerima hukuman yang dikenakan oleh Bapa kita yang di syurga, supaya kita hidup. Bapa kita yang di dunia menghukum kita hanya untuk masa pendek ketika kita masih anak-anak, menurut apa yang dirasakan baik oleh mereka. Tetapi Allah menghukum kita untuk kebaikan kita sendiri, supaya kita dapat menjadi suci seperti Dia. Pada masa kita dihukum, hukuman itu membuat kita susah hati, bukannya senang hati. Tetapi kemudian, orang yang dihukum untuk menunjukkan kesalahan mereka, akan hidup menurut kehendak Allah dan mengalami kesejahteraan. Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lemah dan lutut yang gementar! Berjalanlah sentiasa pada jalan yang lurus, supaya kaki yang tempang itu tidak terkilir, tetapi menjadi sembuh. Berusahalah untuk hidup rukun dengan semua orang. Berusahalah untuk hidup suci, khas bagi Tuhan, kerana tidak seorang pun akan melihat Tuhan jika tidak hidup seperti itu. Pastikanlah supaya tidak ada orang meninggalkan Allah yang merahmati kita. Janganlah sesiapa pun menjadi seperti tanaman pahit, yang menimbulkan pelbagai kesusahan dan mencemari orang dengan bisanya. Janganlah sesiapa pun lakukan perbuatan cabul atau tidak hargai perkara rohani seperti yang dilakukan oleh Esau. Dia menjual haknya sebagai anak sulung, hanya untuk mendapat semangkuk makanan. Kamu tahu bahawa kemudian Esau ingin mendapat berkat daripada bapanya, tetapi dia ditolak. Meskipun dengan tangisan dia cuba mencari jalan untuk memperbaiki apa yang sudah dilakukannya, dia tidak dapat berbuat demikian. Kamu tidak datang untuk menghadapi sesuatu seperti yang dihadapi oleh umat Israel. Mereka datang kepada sesuatu yang dapat disentuh iaitu Gunung Sinai dengan apinya yang bernyala-nyala; mereka datang kepada kegelapan, kekelaman, angin ribut, bunyi trompet, dan suara Allah yang berfirman. Apabila umat Israel mendengar suara itu, mereka dengan sungguh-sungguh berkata bahawa mereka tidak mahu mendengar suara itu lagi. Mereka berkata demikian kerana mereka tidak tahan mendengar perintah yang mengatakan, “Baik manusia ataupun binatang yang menyentuh gunung ini, harus direjam sampai mati.” Apa yang dilihat oleh umat Israel sedemikian dahsyat sehingga Musa berkata, “Aku takut dan gementar.” Sebaliknya, kamu telah datang ke Bukit Sion dan ke kota Allah yang hidup, iaitu Yerusalem yang di syurga dengan beribu-ribu malaikatnya.
IBRANI 12:1-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
ADAPUN sŭbab tampaknya kita skalian ini ada dikŭpong bŭrkliling dŭngan saksi saksi yang spŭrti awan awan ramienya, maka biarlah kami sŭblahkan sagala kabratan dan dosa, yang mŭnyŭmakkan kami dŭngan mudahnya, maka biarlah kami lari dŭngan sabar pada pŭrlumbaan yang tŭlah ditarohkan dihadapan kami ini, Sŭrta mŭmandanglah kakapada Isa yang pŭrmulaan dan kasudahan iman itu; dan ulih sŭbab kasukaan yang ditarohkan dihadapannya iya tŭlah mŭnanggong salib, dan tiada mŭngindahkan malu, maka iyalah juga yang dudok disŭblah kanan arash Allah. Maka timbanglah ulihmu akan halnya yang tŭlah mŭnanggong sakian pŭrsŭlŭsihan orang orang bŭrdosa yang mŭlawan akan dia, asal jangan jadi pŭnat dan lŭmah hatinya. Maka bŭlomlah kamu mŭlawan sampie kluar darah, tŭtkala bŭrpukol pukolan dŭngan dosa. Maka tŭrlupalah sudah angkau akan nasihat yang ada bŭrkata kata padamu spŭrti kapada kanak kanak, katanya, Anakku, janganlah kiranya angkau mŭmbŭnchikan sŭsah pŭngajaran Tuhan itu, atau bŭrlŭteh tŭtkala angkau ditŭgornya: Kŭrna kapada barang siapa yang dikasihi Tuhan itu disŭsahnya, danlagi dipukolnya tiap tiap anak yang ditrimanya. Shahadan jikalau kamu mŭnahani sŭsah pŭngajaran itu, maka Allah bŭrlaku pada kamu spŭrti kapada anak anak; kŭrna anak manakah yang tiada kŭna sŭsah ulih bapanya? Tŭtapi jikalau kamu dŭngan tiada disŭsah, kŭrna itulah pŭndapatan sagala kanak kanak, nŭschaya kamulah anak haram, dan bukannya anak halal. Tambahan pula, pada kami sudah ada bapa didunia yang sŭsah kami: maka kami mŭmbri hormat akan dia, bukankah brapa pula lagi grangan patut kami tundokkan diri kami kapada bapa sagala Roh, supaya kami hidop. Kŭrna sungguhlah bapa bapa dunia ini tŭlah munyŭsah kami dalam sŭdikit hari sahja mŭnurot kasukaannya; tŭtapi Allah itu kŭrna untong kami, iya itu supaya kami mŭndapat bahgian kasuchiannya. Adapun skarang tiadalah barang sŭsah itu tampaknya kasukaan, mŭlainkan kasusahan; kŭndatilah, kumdian kŭlak iya mŭndatangkan buah buahan sŭjahtralah deripada kabŭnaran kapada marika itu yang biasa dalam itu. Sŭbab itu tadahkanlah tangan yang tŭrgantong, dan lutot yang lŭmah; Dan ratakanlah lorong lorong bagie kakimu, supaya jangan yang tempang itu tŭrplechuk, mŭlainkan tŭrlebih baik iya itu disŭmbohkan. Maka tuntotkanlah pŭrdamiean kapada sagala manusia, dan lagi akan kasuchian, maka dŭngan tiada itu tiadalah bulih sa’orang jua pun dapat mŭlihat Tuhan. Rajin rajin lihatlah asal jangan bŭrkorangan bagie sa’orang jua pun anugrah Allah, asal jangan barang akar yang pahit bŭrtumboh kŭlak mŭnyusahi kamu, maka deri sŭbab itulah kabanyakkan orang mŭnjadi nŭjis. Asal jangan ada barang sa’orang yang bŭrzinah, atau yang bŭrchabol spŭrti klakuan Esau, yang tŭlah mŭnjualkan warith sulongannya sŭbab sa’suap makanan. Kŭrna kamu tŭlah mŭngatahui, bahwa kumdian deri pada itu kŭlak, tŭtkala iya handak mŭmpusakai bŭrkat itu, maka iya ditolakkan, kŭrna iya tiada mŭndapat upaya akan bŭrtaubat, sungguh pun dicharinya dŭngan bŭrchuchuran ayer matanya. Kŭrna tiadalah kamu mŭndapatkan bukit yang dapat dijabat itu, dan yang bŭrnyala nyala dŭngan api, atau bukannya pula kapada awan yang klam, dan kapada kabut, dan kapada taufan, Dan kapada bunyi nafiri, dan swara fŭrman; adapun swara yang didŭngar ulih marika itu, dipintanya supaya jangan fŭrman itu dikatakan padanya lagi. Kŭrna tiadalah marika itu dapat mŭnahani pŭrkara yang dititahkannya itu, Bahwa jikalau skiranya sa’ekor binatang skalipun mŭnyŭntok akan bukit itu, maka iya itu dirŭjam dŭngan batu, atau ditikam trus dŭngan limbing: Maka dŭmkianlah hiebat adanya pŭmandangan itu, sahingga bŭrkatalah Musa, maka aku tŭrsangatlah katakutan sŭrta gŭmantar. Tŭtapi kamu datang mŭndapatkan bukit Zion, dan akan nŭgri Allah yang hidop itu, iya itu Jerusalem yang dishorga itu, dan kapada pŭrhimpunan mŭliekat yang tiada tŭrkira kira.
IBRANI 12:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita, dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita. Marilah kita mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. Fikirkanlah Dia yang tabah menderita apabila orang berdosa memusuhi-Nya, supaya kamu tidak berasa bosan dan tawar hati. Dalam perjuangan melawan dosa, kamu belum lagi bertahan sehingga tumpah darahmu. Kamu telah melupakan nasihat yang disampaikan kepadamu seperti kepada anak-anak sendiri: “Anakku, jangan pandang ringan pengajaran Tuhan, dan jangan tawar hati apabila Dia menegurmu, kerana Tuhan mengajari orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum sesiapa yang diterima-Nya sebagai anak.” Jika kamu tahan diajari, Allah memperlakukan kamu sebagai anak; kerana anak manakah yang tidak diajari oleh bapanya? Tetapi jika kamu tidak diajari, sedangkan orang lain menerima pengajaran, maka kamu ialah anak haram dan bukanlah anak yang sah. Tambahan pula, kita mempunyai bapa di dunia yang mengajari kita dan kita menghormati mereka. Tidakkah sepatutnya kita lebih rela lagi tunduk kepada Bapa segala roh untuk hidup? Bapa kita di dunia mengajari kita beberapa waktu menurut apa yang terasa baik bagi mereka. Tetapi Tuhan mengajari kita untuk menguntungkan kita, supaya kita mendapat sebahagian kesucian-Nya. Tiada pengajaran yang menggembirakan ketika dilaksanakan; semuanya terasa teruk. Tetapi kemudiannya pengajaran itu menghasilkan buah perbenaran yang mendatangkan rasa aman kepada mereka yang telah dididik dengannya. Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lesu dan lutut yang lemah, serta buatkan lorong yang lurus bagi kakimu, supaya yang tempang tidak terpelecok tetapi sembuh. Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan. Awaslah, jangan sampai ada sesiapa pun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan akar kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar. Janganlah ada di antaramu pencabul atau menjadi durjana seperti Esau, yang menjualkan hak warisannya untuk sesuap makanan. Kamu ketahui bahawa kemudiannya, apabila dia hendak mewarisi berkat itu, dia ditolak, kerana dia tidak mendapat ruang untuk bertaubat, walaupun dia memohon berkat itu dengan air mata. Kamu tidak pernah datang ke gunung yang dapat disentuh dan menyala dengan api, ke dalam gelap-gelita serta ribut taufan, dan bunyi sangkakala bersama suara yang menuturkan kata-kata, sehingga sekalian yang mendengarnya merayu supaya kata-kata itu tidak dilafazkan lagi kepada mereka. Mereka tidak tahan mendengar apa yang diperintahkan: “Jika seekor binatang pun menyentuh gunung ini, ia mesti direjam dengan batu atau ditembusi dengan anak panah.” Penglihatan itu begitu menggerunkan sehingga Musa berkata, “Aku amat ketakutan dan menggeletar.” Tetapi kamu telah datang ke Gunung Sion dan ke kota Allah yang hidup, Yerusalem yang di syurga, kepada para malaikat yang tidak terkira banyaknya