IBRANI 11:8-16

IBRANI 11:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi. Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Allah. Hal itu demikian kerana Abraham sedang menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina oleh Allah. Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Allah akan menepati janji-Nya. Meskipun Abraham pada masa itu sudah mati pucuk, tetapi dia mendapat keturunan sebanyak bintang di langit dan pasir di pantai. Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini. Orang yang berkata demikian menunjukkan dengan jelas bahawa mereka sedang mencari negeri yang akan menjadi tanah air mereka. Mereka tidak selalu memikirkan negeri yang sudah ditinggalkan. Jika mereka selalu memikirkannya, mereka berpeluang kembali ke negeri itu. Sebaliknya, mereka merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga. Itulah sebabnya Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka.

IBRANI 11:8-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun ulih sŭbab iman itu juga, maka Ibrahim apabila iya disuroh kluar pŭrgi kapada suatu tŭmpat yang iya akan mŭmpusakai kŭlak, diturutnya; maka kluarlah iya dŭngan tiada dikŭtahuinya kamana grangan pŭrginya. Dan ulih iman itu juga Ibrahim tŭlah mŭnumpang dalam tanah pŭrjanjian spŭrti dalam sa’buah nŭgri dagang, sŭrta dudoklah iya dalam khemah dŭngan Isahak dan Yakob, warith warith juga dŭngan dia akan sama pŭrjanjian itu: Kŭrna Ibrahim mŭnilek sa’buah nŭgri yang ada tŭralas, yang mŭmbangunkan dia, dan tukangnya, iya itu Allah adanya. Adapun ulih sŭbab iman itu juga Sarah pun tŭlah mŭndapat kuat badan akan mŭngandong, lalu dipranakkannyalah sa’orang anak, iya itu tŭtkala lalulah umornya, sŭbab pada fikirannya sŭtiawanlah kiranya Tuhan yang tŭlah bŭrjanji itu. Maka sŭbab itu tŭlah tŭrbitlah bŭnih deripada sa’orang spŭrti sa’orang yang sudah mati, maka sŭbanyak bintang dilangit, dan spŭrti kŭrsek ditŭpi laut, yang tiada dapat tŭrbilang adanya. Maka skaliannya itu tŭlah mati dŭngan iman, tŭtkala sŭbŭlom marika itu bŭrulih pŭrjanjian itu, mŭlainkan sŭbab ditileknya deri jauh, maka dŭngan yakinnya dipŭgangnya akan dia, sŭrta mŭngaku bahwasanya iyalah orang orang dagang, dan orang pŭrjalanan diatas bumi. Kŭrna orang yang bŭrkata yang dŭmkian itu mŭngatakan dŭngan trangnya, bahwasanya iya mŭnchari sa’buah nŭgri. Maka sŭsungguhnya jikalau marika itu tŭlah mŭnaroh kŭnangan akan nŭgri yang tŭlah ditinggalkannya itu, maka adalah waktu yang bulih marika itu kŭmbali pula. Tŭtapi skarang dikahandaki ulih marika itu sa’buah nŭgri yang tŭrlebih baik, iya itu shorga; maka sŭbab itu tiadalah Allah malu akan disŭbutkan Allahnya, kŭrna iya tŭlah mŭnyŭdiakan sa’buah nŭgri bagie marika itu.