IBRANI 1:1-13

IBRANI 1:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara. Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya. Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi. Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat. Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya, “Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini, “Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku.” Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman, “Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu.” Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian, “Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin, dan hamba-hamba-Nya nyala api.” Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman, “Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan. Engkau suka akan keadilan, dan benci akan kecurangan; itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau dan memberi Engkau kehormatan yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu.” Allah juga berfirman, “Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi, dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit. Semua itu akan lenyap, dan menjadi usang seperti pakaian; tetapi Engkau tidak akan berubah. Alam semesta Engkau lipat seperti jubah, dan akan Engkau ganti seperti pakaian. Tetapi Engkau tidak akan berubah, dan hidup-Mu tidak akan berakhir.” Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga musuh-musuh-Mu Aku jadikan alas kaki-Mu.”

IBRANI 1:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA Allah yang tŭlah bŭrfŭrman pada zaman dahulu bŭbrapa kali, dan dŭngan bŭrbagie bagie upaya kapada nenek moyang ulih nabi nabi. Maka pada akhir zaman ini pun Tuhan tŭlah bŭrfŭrman pada kita ulih anaknya, yang tŭlah ditŭntukannya mŭnjadi warith atas sŭmŭsta skalian, maka ulihnya juga iya tŭlah mŭnjadikan sagala alam. Maka iyalah juga chahya kamuliannya, dan pŭta kaadaannya yang sŭbŭnar bŭnar, dan yang mŭnanggong sŭmŭsta skalian dŭngan kwasa pŭrkataannya, sŭtlah iya sŭndiri dirinya tŭlah mŭnghapuskan sagala dosa kami, maka iya pun dudoklah disŭblah kanan Allah yang maha tinggi. Maka iya tŭlah dijadikan tŭrlebih baik deripada sagala mŭliekat, sŭbab dŭngan bŭrpusaka iya tŭlah mŭndapat suatu nama yang tŭrlebih mulia deripada marika itu. Kŭrna kapada mŭliekat yang manakah Allah tŭlah bŭrfŭrman barang bila pun baik, Angkaulah anakku, maka hari inilah kupranakkan akan dikau? dan lagi pula aku kŭlak mŭnjadi Ayah bagienya, dan iya kŭlak mŭnjadi anak bagieku? Danlagi pula tŭtkala Tuhan mŭmasokkan anak sulong kadalam dunia, maka bŭfŭrmanlah iya, Biarlah sagala mŭliekat Allah mŭnyŭmbah akan dia. Maka derihal sagala mŭliekat Tuhan bŭrfŭrman, Siapakah mŭnjadikan sagala mŭliekatnya Roh, dan utus utusannya pun satu nyala api? Tŭtapi kapada anak itu iya tŭlah bŭrfŭrman, Takhtamu, iya Allah, ada sampie slama lamanya: adapun tongkat kabŭnaran itulah tongkat krajaanmu. Angkau tŭlah suka akan kaadilan, dan mŭmbŭnchi akan kajahatan; maka sŭbab itulah Allah itu, iya itu Allahmu, tŭlah mŭlantekkan dikau dŭngan minyak kagŭmaran tŭrlebih deripada taulan taulanmu. Dan angkaulah, ya Tuhan, pada mulanya tŭlah mŭlŭtakkan alas bumi itu; dan sagala langit itupun pŭrbuatan tanganmu juga. Maka skaliannya itu akan binasa, mŭlainkan angkaulah juga yang kŭkal; dan skaliannya itu akan mŭnjadi burok spŭrti suatu baju burok adanya. Dan spŭrti suatu slimut angkau akan mŭlipatkan dia itu, dan iya kŭlak bŭrubah; mŭlainkan angkau sŭlama lamanya sama, dan tahunmu tiadalah bŭrkasudahan. Tŭtapi kapada mŭliekat yang manakah Tuhan tŭlah bŭrfŭrman barang bila pun baik, Dudoklah angkau disŭblah kananku, sahingga kujadikan sagala sŭtrumu itu akan alas kakimu?

IBRANI 1:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi. Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Anak-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta. Anak itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga. Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka. Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: “Engkau Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu”? Dan juga: “Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku”? Selanjutnya, apabila Allah menghantar Anak sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya: “Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.” Dan tentang para malaikat, Dia berfirman: “Dia menjadikan para malaikat-Nya angin, dan para pelayan-Nya nyala api.” Tetapi tentang Anak itu Dia berfirman: “Takhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya; Tongkat kebenaran ialah tongkat kerajaan-Mu. Engkau telah mencintai apa yang benar dan membenci apa yang jahat; Oleh itu Allah, Allah-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.” Dan: “Pada mulanya, Engkau, ya Tuhan, yang meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu; Bumi dan langit akan binasa tetapi Engkau kekal; dan segalanya akan menjadi usang seperti pakaian; Seperti jubah, Engkau akan menggulungnya; seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. Tetapi Engkau tetap sama, dan zaman-Mu tidak berkesudahan.” Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu”?