KEJADIAN 9:8-17

KEJADIAN 9:8-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu Allah berfirman lagi kepada Nuh dan kepada anak-anaknya yang ada bersama-samanya, “Sesungguhnya, Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu dan keturunanmu kelak, dengan semua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu — termasuk segala burung, haiwan ternakan, dan segala jenis haiwan yang ada bersama-samamu — semua yang keluar dari bahtera, iaitu segala makhluk yang hidup di bumi. Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu: tidak akan berlaku lagi kejadian kesemua makhluk dilenyapkan oleh air banjir, dan tidak akan berlaku lagi banjir yang memusnahkan bumi.” Allah pun berfirman, “Inilah tanda perjanjian yang Kuadakan antara Aku dengan kamu dan dengan segala makhluk hidup yang ada bersama-samamu, turun-temurun, untuk selama-lamanya: Akan Kuwujudkan pelangi di awang-awangan, dan itulah yang menjadi tanda jaminan bagi perjanjian antara Aku dengan bumi. Apabila Aku mengadakan awan yang berarak di muka bumi dan pelangi terlihat di awang-awangan, maka Aku akan mengingati perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu dan dengan segala jenis makhluk yang bernyawa. Tidak akan berlaku lagi kejadian air menjadi banjir demi memusnahkan segala hidupan. Apabila muncul pelangi di awang-awangan, maka Aku akan melihatnya dan mengingati perjanjian abadi antara Allah dengan segala jenis hidupan yang ada di bumi.” Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Inilah jaminan bagi perjanjian yang Aku sahkan antara Aku dengan segala hidupan yang ada di bumi.”