Kejadian 9
9
Perjanjian Allah dengan Nuh
1 # Kej 1:28. Lalu Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya dan berfirman kepada mereka, “Beranakcuculah dan bertambah ramailah, dan penuhilah bumi. 2Setiap makhluk yang hidup dan setiap burung di udara akan berasa takut dan gentar terhadap kamu. Segala yang merayap di tanah, dan segala ikan di laut berada dalam kekuasaanmu. 3Segala yang bergerak yang mempunyai hidup akan menjadi makananmu. Sebagaimana Aku memberimu tumbuh-tumbuhan hijau, kini Aku memberimu kesemuanya. 4#Im 7:26,27; 17:10-14; 19:26; Ul 12:16,23; 15:23.Akan tetapi, jangan kamu makan daging yang masih ada nyawanya, iaitu darahnya. 5Atas darahmu, iaitu nyawamu, tentu Aku akan mengenakan balasan. Aku akan mengenakan balasan ke atas setiap haiwan, dan ke atas setiap manusia. Aku akan mendapatkan balasan ke atas nyawa manusia biarpun angkara tangan saudaranya. 6#Kel 20:13; Kej 1:26.Siapa menumpahkan darah manusia, manusia jua akan menumpahkan darahnya, kerana Allah telah menjadikan manusia menurut gambaran-Nya.#9:6 Antara maksud ‘gambaran’ (bahasa Ibrani, tselem) ialah imej peribadi atau citra. Maka rangkai kata, ‘menciptakan manusia menurut gambaran-Nya’ merangkumi maksud manusia diciptakan untuk menyerupai diri Tuhan iaitu sebagai gambaran dan citraan-Nya.
7 # Kej 1:28. Tetapi kamu, beranakcuculah dan bertambah ramailah. Penuhilah bumi dan bertambah ramailah di atasnya.”
8Lalu Allah berfirman lagi kepada Nuh dan kepada anak-anaknya yang ada bersama-samanya, 9“Sesungguhnya, Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu dan keturunanmu kelak, 10dengan semua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu — termasuk segala burung, haiwan ternakan, dan segala jenis haiwan yang ada bersama-samamu — semua yang keluar dari bahtera, iaitu segala makhluk yang hidup di bumi. 11Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu: tidak akan berlaku lagi kejadian kesemua makhluk dilenyapkan oleh air banjir, dan tidak akan berlaku lagi banjir yang memusnahkan bumi.” 12Allah pun berfirman, “Inilah tanda perjanjian yang Kuadakan antara Aku dengan kamu dan dengan segala makhluk hidup yang ada bersama-samamu, turun-temurun, untuk selama-lamanya: 13Akan Kuwujudkan pelangi di awang-awangan, dan itulah yang menjadi tanda jaminan bagi perjanjian antara Aku dengan bumi. 14Apabila Aku mengadakan awan yang berarak di muka bumi dan pelangi terlihat di awang-awangan, 15maka Aku akan mengingati perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu dan dengan segala jenis makhluk yang bernyawa. Tidak akan berlaku lagi kejadian air menjadi banjir demi memusnahkan segala hidupan. 16Apabila muncul pelangi di awang-awangan, maka Aku akan melihatnya dan mengingati perjanjian abadi antara Allah dengan segala jenis hidupan yang ada di bumi.” 17Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Inilah jaminan bagi perjanjian yang Aku sahkan antara Aku dengan segala hidupan yang ada di bumi.”
Kutukan terhadap Kanaan
18Anak-anak Nuh yang keluar dari bahtera ialah Sem, Ham, dan Yafet. Ham ialah bapa kepada Kanaan. 19Mereka bertiga itu ialah anak-anak Nuh, dan leluhur bagi penduduk di seluruh bumi.
20Nuh menjadi petani, dan dia mula-mula menanam kebun anggur. 21Apabila dia minum air anggur lalu mabuk tertidurlah dia dalam keadaan telanjang di dalam khemahnya. 22Ham, ayah Kanaan yang terlihat aurat ayahnya itu menceritakannya kepada kedua-dua orang saudaranya yang berada di luar. 23Maka Sem dan Yafet mengambil sehelai pakaian lalu menyangkutkannya pada bahu mereka berdua lalu mereka berjalan secara mengundur dan menutupi aurat ayah mereka. Mereka menghadapkan muka masing-masing ke arah yang membelakangi tubuh ayah mereka lantas mereka tidak melihat aurat ayah mereka. 24Ketika Nuh sedar daripada pengaruh air anggur itu, tahulah dia tentang apa yang dilakukan anak bongsunya kepadanya. 25Maka berkatalah ia,
“Terkutuklah Kanaan!
Dia akan menjadi hamba daripada segala hamba bagi saudara-saudaranya.”
26Katanya pula,
“Segala puji bagi TUHAN, Allah Sem!
Biarlah Kanaan menjadi hambanya.
27Semoga Allah meluaskan wilayah Yafet!
Biarlah dia tinggal di dalam khemah-khemah Sem
dan biarlah Kanaan menjadi hambanya.”
28Selepas banjir besar itu, Nuh hidup selama 350 tahun lagi. 29Maka setelah Nuh berusia 950 tahun, dia pun meninggal.
Terpilih Sekarang Ini:
Kejadian 9: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited