KEJADIAN 9:1-17

KEJADIAN 9:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya, serta berfirman kepada mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak supaya keturunan kamu mendiami seluruh bumi. Semua burung dan ikan, serta binatang lain akan takut kepada kamu; semuanya berada dalam kekuasaan kamu. Kini kamu boleh makan semuanya, serta tumbuh-tumbuhan hijau; Aku memberikan semua itu kepada kamu sebagai makanan. Hanya daging yang masih berdarah tidak boleh kamu makan, kerana nyawa itu terkandung di dalam darah. Setiap orang dan binatang yang membunuh manusia akan Kuhukum mati. Manusia diciptakan seperti Allah; oleh itu, sesiapa yang membunuh manusia akan dibunuh oleh manusia juga. Kamu harus mempunyai banyak anak cucu, supaya keturunan kamu dapat mendiami seluruh bumi.” Allah berfirman kepada Nuh dan anak-anaknya, “Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu dan keturunan kamu, dan juga dengan semua makhluk hidup, iaitu burung dan binatang; semua yang keluar dari bahtera bersama dengan kamu. Inilah perjanjian-Ku dengan kamu. Aku berjanji bahawa semua makhluk hidup tidak akan dibinasakan oleh banjir lagi. Banjir tidak akan memusnahkan bumi lagi. Sebagai tanda perjanjian abadi yang Aku buat dengan kamu dan semua makhluk hidup, Aku menempatkan pelangi-Ku di langit. Pelangi menjadi tanda perjanjian-Ku dengan dunia. Tiap-tiap kali Aku meliputi langit dengan awan dan pelangi itu kelihatan, Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan kamu dan dengan semua makhluk hidup, bahawa banjir tidak lagi akan membinasakan semua makhluk hidup. Apabila pelangi itu kelihatan di langit, Aku akan melihatnya dan mengingat perjanjian abadi antara Aku dan semua makhluk yang hidup di bumi. Itulah tanda perjanjian yang Aku buat dengan semua makhluk yang hidup di bumi.”

KEJADIAN 9:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya dan berfirman kepada mereka, “Beranakcuculah dan bertambah ramailah, dan penuhilah bumi. Setiap makhluk yang hidup dan setiap burung di udara akan berasa takut dan gentar terhadap kamu. Segala yang merayap di tanah, dan segala ikan di laut berada dalam kekuasaanmu. Segala yang bergerak yang mempunyai hidup akan menjadi makananmu. Sebagaimana Aku memberimu tumbuh-tumbuhan hijau, kini Aku memberimu kesemuanya. Akan tetapi, jangan kamu makan daging yang masih ada nyawanya, iaitu darahnya. Atas darahmu, iaitu nyawamu, tentu Aku akan mengenakan balasan. Aku akan mengenakan balasan ke atas setiap haiwan, dan ke atas setiap manusia. Aku akan mendapatkan balasan ke atas nyawa manusia biarpun angkara tangan saudaranya. Siapa menumpahkan darah manusia, manusia jua akan menumpahkan darahnya, kerana Allah telah menjadikan manusia menurut gambaran-Nya. Tetapi kamu, beranakcuculah dan bertambah ramailah. Penuhilah bumi dan bertambah ramailah di atasnya.” Lalu Allah berfirman lagi kepada Nuh dan kepada anak-anaknya yang ada bersama-samanya, “Sesungguhnya, Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu dan keturunanmu kelak, dengan semua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu — termasuk segala burung, haiwan ternakan, dan segala jenis haiwan yang ada bersama-samamu — semua yang keluar dari bahtera, iaitu segala makhluk yang hidup di bumi. Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu: tidak akan berlaku lagi kejadian kesemua makhluk dilenyapkan oleh air banjir, dan tidak akan berlaku lagi banjir yang memusnahkan bumi.” Allah pun berfirman, “Inilah tanda perjanjian yang Kuadakan antara Aku dengan kamu dan dengan segala makhluk hidup yang ada bersama-samamu, turun-temurun, untuk selama-lamanya: Akan Kuwujudkan pelangi di awang-awangan, dan itulah yang menjadi tanda jaminan bagi perjanjian antara Aku dengan bumi. Apabila Aku mengadakan awan yang berarak di muka bumi dan pelangi terlihat di awang-awangan, maka Aku akan mengingati perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu dan dengan segala jenis makhluk yang bernyawa. Tidak akan berlaku lagi kejadian air menjadi banjir demi memusnahkan segala hidupan. Apabila muncul pelangi di awang-awangan, maka Aku akan melihatnya dan mengingati perjanjian abadi antara Allah dengan segala jenis hidupan yang ada di bumi.” Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Inilah jaminan bagi perjanjian yang Aku sahkan antara Aku dengan segala hidupan yang ada di bumi.”